'Terkejut telefon tiba-tiba berbunyi amaran kuat'

MELAKA - Meskipun mengetahui tentang ujian MySiren, namun kebanyakan pengguna tetap terkejut apabila telefon bimbit secara tiba-tiba mengeluarkan bunyi amaran kuat ketika sedang membeli barang keperluan dapur di sebuah pasar raya di sini pada Ahad.
Situasi itu dikongsikan seorang pekerja swasta, Nor Azwan Khamis, 43, yang menyifatkan bunyi amaran berkenaan jelas kedengaran dan bergema di sekelilingnya.
Menurutnya, dia sudah mengetahui mengenai ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) itu sejak minggu lalu menerusi hebahan di media sosial.
Katanya, sistem berkenaan merupakan inisiatif baik kerana membolehkan orang ramai mendapat maklumat awal dan membuat persediaan sekiranya berlaku bencana.
"Pada saya, bunyi amaran itu okey kerana kuat dan jelas. Bagus juga sistem ini kerana orang ramai boleh mendapat maklumat awal serta lebih bersedia.
"Walaupun bencana di Melaka tidak begitu kerap berlaku, sistem seperti ini tetap penting terutama bagi negeri yang sering berdepan banjir seperti Kelantan dan Terengganu," katanya.

Sementara itu, pesara kerajaan, Zahari Ibrahim, 73, berkata, bunyi amaran yang diterima jam 10.10 pagi bersama getaran telefon bimbit menimbulkan panik buatnya kerana sedia maklum dengan ujian serentak dijalankan di selutuh negara.
"Saya tengok jam dan memang tepat seperti waktu yang dimaklumkan sebelum ini. Jadi, saya tahu ia hanya ujian," kongsinya.
Bagi penjawat awam, Mazilah Ahmad, 50, berkata, sistem berkenaan merupakan langkah baik sebagai alternatif khususnya kepada segelintir masyarakat yang peka terhadap keadaan sekeliling.
Menurutnya, amaran awal itu amat diperlukan ketika berlaku kecemasan, khususnya apabila seseorang berada di luar kawasan kediaman atau melancong ke negeri lain.
Beliau turut berkongsi pengalaman pernah terperangkap dalam kejadian banjir ketika bercuti di Kelantan kerana tidak menjangkakan bencana itu berlaku.
"Ketika itu, kami tidak menyangka banjir akan berlaku. Apabila sudah terperangkap, sukar untuk bergerak ke sana sini bagi mencari jalan keluar.
"Sebab itu amaran seperti ini penting supaya kita lebih bersedia, terutama apabila berada di tempat yang tidak biasa kita kunjungi," katanya.
Sebelum ini, pelaksanaan ujian MySiren secara serentak di seluruh negara dijadualkan berlangsung dari jam 10.10 hingga 10.30 pagi Ahad bagi menguji keberkesanan penyampaian amaran kecemasan terus ke telefon bimbit pengguna.
MySiren merupakan Sistem Amaran Awal Nasional yang dibangunkan bagi memberi amaran kepada orang ramai ketika berlaku kecemasan supaya tindakan segera dapat diambil bagi melindungi nyawa dan harta benda.
Antara ancaman yang boleh mencetuskan amaran itu termasuk cuaca buruk, banjir, tsunami, kebakaran besar, insiden bahan berbahaya serta ancaman keselamatan awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

