Rokok seludup galak lebih ramai pelajar merokok

Bahrin, Mohd Nizam
Bahrin, Mohd Nizam
A
A
A

GERIK - Kebanjiran penjualan rokok seludup secara berleluasa di negara ini menjadi faktor utama penyumbang peningkatan masalah pelajar sekolah merokok pada masa kini.

Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Mahkota Sari, Mohd Nizam Edrusi berkata, di sebalik kesan positif penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam oleh Kementerian Kesihatan, kerajaan juga wajar menumpukan usaha membanteras sepenuhnya penjualan rokok seludup di negara ini.

Menurutnya, pada saat harga sekotak rokok kini semakin mahal, pelajar sekolah terutama pelajar sekolah rendah kini masih mampu membeli sekotak rokok seludup untuk memenuhi kehendak muda mereka atau terikut-ikut dengan ajakan kawan-kawan.

"Sekiranya mereka cuba membeli rokok secara batang, harga rokok biasa dijual di premis niaga lebih kurang RM1 sebatang dan mereka tidak mempunyai kemampuan membelinya secara kerap.

"Namun dengan penularan pihak tidak bertanggungjawab menjual dan mendapatkan bekalan rokok seludup secara berleluasa, pelajar terbabit mampu membeli sekotak rokok seludup mengandungi 20 batang rokok hanya dengan harga RM5.

"Jadi, tiada guna penguatkuasaan larangan merokok tempat awam dilaksanakan sekiranya kerajaan tidak benar-benar serius membanteras aktiviti menjual rokok seludup di negara ini," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Nizam berkata, dari satu sudut, pelaksanaan larangan merokok di premis awam amat bagus kerana pelajar-pelajar sekolah merokok kini sukar mencari 'port' merokok tanpa pengetahuan ibu bapa.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi menekankan kepentingan membanteras aktiviti penjualan rokok seludup sekaligus menyukarkan usaha pelajar terlibat mendapatkan dana bagi membeli rokok biasa.

Artikel Berkaitan:

"Mengenai perkembangan senario pelajar merokok di peringkat sekolah rendah, saya lihat kadar peratusan pelajar terlibat dengan gejala itu sangat rendah di kawasan luar bandar seperti daerah Hulu Perak.

"Namun, ibu bapa wajar memainkan peranan utama memastikan anak-anak mereka tidak menyalahgunakan duit belanja sekolah diberikan setiap hari bagi tujuan membeli rokok," katanya.

Sementara itu, di Parit Buntar, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sungai Burong, Bahrin Md Desa menyifatkan inisiatif kerajaan menguatkuasakan arahan larangan merokok di tempat awam sebagai langkah tepat membendung masalah pelajar sekolah terjebak dengan gejala merokok.

Menurutnya, susulan pelaksanaan penguatkuasaan baharu itu memberi kesan besar kepada golongan perokok dewasa, senario itu sedikit sebanyak turut menakutkan golongan pelajar merokok untuk merokok secara terbuka.

"Sebagai pelajar sekolah, mereka bimbang dikenakan kompaun yang terlalu tinggi, jadi inisiatif ini wajar diperluaskan pada banyak lagi kawasan awam yang tidak diwarta serta kawasan persendirian.

"Selain itu, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu proaktif melaksanakan kempen jauhi merokok secara lebih agresif dan komprehensif bagi memberi kesedaran kepada pelajar sekolah mengenai bahaya merokok," katanya.