[VIDEO] 'Empat tahun saya berusaha' - Uqasha Senrose akhirnya bersuara

A
A
A

PELAKON Uqasha Senrose menegaskan bahawa tindakannya memfailkan perceraian bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya selepas empat tahun berusaha mempertahankan rumah tangga serta memberi ruang kepada suaminya, Kamal Adli, untuk berubah.

Menurut pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen, bagaimanapun, peluang yang diberikan didakwa tidak dimanfaatkan sehingga mendorongnya mengambil keputusan untuk memfailkan perceraian demi melindungi diri dan anak mereka, Hawra Uqaira, 19 bulan.

“Empat tahun saya beri peluang untuk dia berubah, selama kami mendirikan rumah tangga. Bukan saya tak cuba.

“Sebenarnya saya sudah berusaha untuk perbaiki sebanyak mungkin dan saya cuba bertahan selama yang mungkin, tapi dia tetap tidak berubah,” katanya ketika ditemui pada selepas prosiding di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu.

Uqasha menjelaskan bahawa sepanjang melalui kemelut rumah tangga itu, dia menguruskan segala masalah secara sendirian, termasuk berjumpa keluarga suaminya lebih awal untuk membincangkan keadaan sebenar.

Uqasha Senrose, Kamal Adli.
Uqasha Senrose, Kamal Adli.

“Saya sendirian kendalikan masalah ini. Malah saya berjumpa keluarga Kamal terlebih dahulu untuk berbincang mengenai masalah rumah tangga kami tapi malangnya tak ada perubahan juga,” jelas Uqasha.

Pada prosiding ketiga tersebut, aktres itu hadir ditemani peguam syarie, Muhammad Syazmee Sapian, serta adiknya, Nelydia Senrose.

Artikel Berkaitan:

Kamal pula hadir bersama peguam syarie, Abdul Hadi Mohamad Salleh. Sesi hari ini turut melibatkan lantikan jawatankuasa pendamai yang diperlukan sebelum kes difahami boleh diteruskan ke fasa seterusnya.

Mengulas lanjut, bintang utama Jika Cinta Itu Buta berkata, keputusan untuk memfailkan perceraian dibuat selepas merujuk keluarga suaminya bagi mengelakkan salah faham dan menjaga maruah kedua belah pihak.

“Saya rujuk keluarga Kamal terlebih dahulu sebab saya tak mahu ada keaiban dari keluarga saya. Saya tak mahu apa yang berlaku ini mendatangkan kemudaratan kepada saya dan anak di kemudian hari.

“Saya harus ambil tindakan sebab saya sayangkan diri saya dan saya masih ada mak ayah. Keluarga saya perlu tahu perkara sebenar yang berlaku dalam rumah tangga kami,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai punca sebenar pergolakan rumah tangganya, pelakon berusia 32 tahun itu memilih untuk tidak menjelaskan lebih jauh.

“Cukup saya katakan yang saya nak selamatkan diri saya dan anak daripada kemudaratan fizikal dan mental. Itu sahaja yang dapat saya katakan,” ujarnya.

Permohonan cerai telah difailkan pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur atas alasan tiada persefahaman dan masalah rumah tangga yang berlaku sejak April 2025. Difahamkan, pasangan itu juga tidak lagi tinggal sebumbung dan Uqasha kini menetap bersama ibunya.

Dalam prosiding Rabu, kedua-dua pihak selesai melantik jawatankuasa pendamai masing-masing seperti diarahkan mahkamah, dengan tarikh prosiding seterusnya ditetapkan pada 18 Disember ini.

Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Ringkasan AI

  • Uqasha Senrose memfailkan perceraian tidak tergesa-gesa tapi selepas empat tahun cuba memperbaiki rumah tangga
  • Kemelut rumah tangga dibawa berbincang dengan keluarga suami namun tidak berubah
  • Uqasha menguruskan masalah rumah tangga secara sendirian
  • Keputusan cerai diambil demi melindungi diri dan anak
  • Permohonan cerai difailkan atas alasan tiada persefahaman dan masalah berlarutan sejak April 2025

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!