[VIDEO] ‘Saya akan ‘fight’ sampai ALLAH kata cukup’ - Kamal tekad pertahan rumah tangga

AKTOR Kamal Adli bertegas untuk terus mempertahankan rumah tangganya dengan aktres popular, Uqasha Senrose, meskipun hubungan mereka kini melalui fasa paling mencabar sejak mendirikan rumah tangga empat tahun lalu.
Menurut pemilik nama penuh Ahmad Kamal Ahmad Adli itu, selagi masih ada ruang, beliau akan berusaha sehabis baik untuk menyelamatkan perkahwinan yang dibina pada 4 November itu.
“Saya tak nak apa-apa jadi pada masjid yang saya bina ni. Saya akan 'fight' sampai hujung. Sampai ALLAH kata sudahlah Kamal… macam tu.
“Tapi saya akan terus usaha, Insya-ALLAH,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu.
Kamal tiba pada jam 9.34 pagi ditemani teman rapat serta peguam syarie, Abdul Hadi Mohamad Salleh.
Wajahnya tenang tetapi jelas sarat emosi yang dipendam sejak beberapa bulan.
Prosiding hari ini menandakan pertemuan pertama pasangan itu selepas lebih dua bulan tidak berhubung.
Walaupun hanya bertentang mata seketika tanpa sebarang perbualan, momen tersebut cukup menyentuh hati pelakon berusia 39 tahun itu.
“Lama tak jumpa dia. Jadi gembira juga dapat tengok walaupun tak bercakap. Tapi saya tak nampak pun dia pandang saya. Biarlah saya bertepuk sebelah tangan… tak apa,” katanya sesekali cuba berseloroh.
Lebih meruntun perasaan, Kamal berkongsi kesukaran bertemu anak perempuan mereka, Hawra Uqaira, yang kini berusia 19 bulan.
Menurutnya, beberapa kali usaha dibuat dengan menghubungi ahli keluarga isterinya untuk memohon ruang kecil bertemu anak itu.
“Saya mesej keluarga dia, sesiapa yang saya rasa boleh bantu. Lima minit pun jadilah, untuk saya peluk dia pun cukup. Memang ada usaha. Tapi semua bergantung kepada kebenaran ibu dia juga,” katanya.
Pelakon itu mengakui proses yang perlu melalui surat-menyurat serta keizinan bertulis menjadikan keadaan lebih rumit.
“Saya harap selepas apa yang disebut depan hakim tadi, lebih mudah sikit untuk saya jumpa Hawra. Kalau isteri saya tak nak jumpa saya buat masa ini, saya faham. Tapi untuk saya jumpa anak, saya harap boleh dipermudahkan,” katanya.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Kamal, Abdul Hadi Mohammad Salleh berkata, prosiding hari ini adalah kali pertama Kamal dibenarkan menyatakan pendirian sama ada bersetuju atau tidak dengan permohonan berpisah yang difailkan oleh isterinya.
Ujarnya, anak guamnya menyatakan tidak bersetuju untuk bercerai, justeru mahkamah mengarahkan pembentukan Jawatankuasa Pendamai (JKP) sebagai proses wajib bagi menilai sama ada perkahwinan itu masih boleh dipulihkan.
“Mahkamah sudah arahkan JKP dibentuk dan kedua-dua pihak melantik wakil masing-masing hari ini.
“Dalam tempoh sebulan, jawatankuasa itu akan bersidang di Pejabat Agama Islam untuk menilai perkahwinan mereka secara berkecuali,” jelas peguamnya.
Laporan daripada jawatankuasa tersebut akan menentukan sama ada pasangan itu boleh didamaikan atau sebaliknya.
Prosiding seterusnya akan bersambung pada 18 Disember depan.
Rumah tangga pasangan ini difahamkan mula bergolak sejak April lalu, namun sumber terdekat menafikan dakwaan kehadiran orang ketiga sebagai punca. Uqasha kini tinggal bersama ibunya.
Aktres itu tiba lebih awal pada jam 9.32 pagi bersama peguam syarie baharu, Muhammad Syazmee Bin Sapian. Ketika diajukan soalan mengenai ketegasan untuk berpisah, dia hanya mengangguk tanpa memberikan ulasan lanjut.
Pasangan ini berkahwin pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.
Ringkasan AI
- Kamal Adli bertegas untuk mempertahankan rumah tangganya dengan Uqasha Senrose meskipun menghadapi fasa mencabar
- Dia berusaha menyelamatkan perkahwinan mereka yang dibina sejak 4 November
- Kamal menyatakan kesukaran bertemu anaknya, Hawra Uqaira, yang berusia 19 bulan
- Mahkamah mengarahkan pembentukan Jawatankuasa Pendamai untuk menilai apakah perkahwinan mereka masih bisa dipulihkan
- Prosiding seterusnya akan berlanjut pada 18 Disember, pasangan ini telah bergolak sejak April tapi menafikan dakwaan kehadiran pihak ketiga
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

