Kamal Adli mohon netizen tidak burukkan Uqasha Senrose

PELAKON dan pengacara, Kamal Adli berharap agar orang ramai tidak melemparkan kata-kata negatif terhadap isterinya, pelakon, Uqasha Senrose selepas prosiding kes permohonan cerai mereka disebut di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Selasa.
Menurut Kamal, kehadirannya ke mahkamah bukan untuk mempertikaikan sesiapa, sebaliknya bagi mencari jalan mendamaikan rumah tangga mereka.
“Saya mohon kepada semua netizen, jangan tulis apa-apa yang tidak elok kepada isteri saya. Tolong jangan kecam dia.
“Dia penat bekerja, dia tertekan dan saya faham perkara itu.
“Kalau nak kutuk, kutuk saya sahaja. Jangan beri tekanan kepada dia sebab apa yang berlaku pada kami terlalu berat untuk dikendalikan,” katanya dalam nada sebak sebaik keluar dari mahkamah.
Kamal turut mengakui segala kelemahan diri dan tidak menuding jari kepada sesiapa atas apa yang berlaku.
“Apa yang berlaku hari ini, saya letakkan semua atas kesalahan saya sendiri. Saya minta maaf kalau ada salah saya pada dia atau keluarganya,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai kontroversi tarikh perkahwinannya yang hangat diperkatakan, pelakon drama Jika Masih Ada Rindu itu berkata, dia tidak berniat membuka aib rumah tangganya kepada umum kerana menganggap isu berkenaan wajar diselesaikan secara peribadi antara mereka berdua.
“Ada perkara yang saya boleh kongsi, ada perkara yang hanya boleh saya ceritakan kepada keluarga. Ini hal keluarga, bukan untuk dijaja kepada semua orang,” katanya.
Menjawab pesanan ringkas buat isteri tercinta, Kamal yang tidak dapat bertemu dan berhubung dengan Uqasha sejak 27 September lalu berkata, dia masih menyimpan harapan untuk berbincang secara baik.
“Untuk isteri saya, sayang, janganlah ke sana sini lagi. Kita jumpa dan selesaikan secara baik demi anak kita, Hawra.
“Saya datang sebab cinta, bukan benci,” ujarnya penuh emosi.
Kamal turut mendedahkan bahawa mereka sudah lama tidak bertemu sejak isterinya bertindak menyekat komunikasi dengannya termasuk di telefon dan media sosial.
“Kami sudah lama tidak berjumpa. Terus terang saya sangat merindui isteri saya,” katanya lagi.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd Manaf, memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau menarik diri daripada mewakili anak guamnya dalam prosiding tersebut.
Prosiding dijalankan di hadapan Hakim Siti Noraini Mohd Ali. Menurut Nurfarhana, keputusan menarik diri dibuat atas alasan tiada kesefahaman dan isu profesionalisme antara beliau dan anak guamnya.
“Saya telah memaklumkan kepada anak guam mengenai perkara ini dan kami bersetuju untuk menyelesaikannya secara baik. Permohonan tersebut akan difailkan secara rasmi selepas prosiding hari ini,” katanya di mahkamah.
Susulan itu, hakim menetapkan 19 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Difahamkan, prosiding hari ini hanya membabitkan sebutan di sebelah pihak Kamal selepas peguam Uqasha menarik diri.
Uqasha tiba di mahkamah kira-kira sejam lewat daripada masa yang ditetapkan bersama kumpulan peguam baharu yang baru dilantik serta ditemani individu dikenali sebagai ‘Coach Cerai’, namun prosiding telah selesai sebelum ketibaannya.
Sebelum ini, prosiding pertama perceraian pasangan berkenaan pada 22 Oktober lalu ditangguhkan selepas Kamal tidak dapat hadir kerana menjalani penggambaran.
Rumah tangga pasangan selebriti itu dikatakan mula bergolak sejak April lalu, namun sumber terdekat menafikan ia berpunca daripada kehadiran orang ketiga. Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap bersama ibunya.
Untuk rekod, pasangan itu sah bergelar suami isteri pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan.
Ringkasan AI
- Kamal Adli berharap orang ramai tidak melemparkan kata-kata negatif terhadap isterinya Uqasha Senrose berkaitan prosiding kes permohonan cerai mereka
- Kamal menyatakan kehadiran ke mahkamah adalah untuk mencari jalan mendamaikan rumah tangga bukan untuk mempertikaikan
- Kamal mengakui segala kelemahan diri dan tidak menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku
- Peguam syarie Uqasha, Nurfarhana Abd Manaf, memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau menarik diri daripada mewakili Uqasha
- Hakim menetapkan 19 November sebagai tarikh sebutan semula kes permohonan cerai tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
