Individu didakwa cabul dua remaja sah jurulatih silat

MELAKA - Pengerusi Silat Gerak Tok Anjang Masaga, Rashidi Bahari mengesahkan individu yang didakwa mencabul dua remaja seperti dilaporkan media pada 5 dan 14 November lalu merupakan seorang jurulatih silat di bawah persatuan tersebut.
Rashidi berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kes berkenaan dan mengakui ia mencemarkan nama baik dunia persilatan serta para pengamalnya.
“izinkan saya mencelah dan memberi penerangan berkaitan isu ini. Orang kena tuduh (OKT) adalah merupakan jurulatih silat. itu adalah kebenaran.
“Kes ini disabit kesalahan atas dakwaan salah laku atau cabul ke atas pelatih silat, sama ada bersalah atau tidak, biarlah mahkamah yang menentukan,” katanya menerusi maklum balas berkenaan isu berkenaan.

Pada Isnin serang wartawan sebuah portal berita di negeri ini membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan jenayah dan serangan peribadi menerusi Facebook berhubung laporan ditulisnya berhubung kes cabul membabitkan OKT merupakan seorang guru silat.
Serangan menerusi platform media sosial oleh beberapa pihak selepas tidak berpuas hati laporan berkenaan yang didakwa mencemar institusi persilatan.
Pada Jumaat, tertuduh, Yusof Omar, 44, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua remaja perempuan yang juga pelajarnya berusia 14 dan 15 tahun.
Tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua tiga pertuduhan yang dibacakan di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Rashidi berkata, media massa hanya menjalankan tugas menyampaikan maklumat.
Beliau menyifatkan kes tersebut sebagai sesuatu yang amat dikesali kerana memberi kesan buruk kepada imej persilatan secara keseluruhan.
“Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kes sebegini memang mencemar nama baik pengamal persilatan dan amat saya kesali.
“Apa yang hendak saya sebut di sini, persilatan kami telah ditutup serta-merta berikutan kes ini,” katanya.
Ringkasan AI
- Jurulatih silat di bawah Silat Gerak Tok Anjang Masaga didakwa mencabul dua remaja
- Kesalahan jurulatih tersebut membawa kepada pencemaran nama baik dunia persilatan
- Wartawan yang melaporkan kes cabul menerima ugutan jenayah di media sosial
- Tertuduh, Yusof Omar, 44 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dengan pertuduhan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii
- Pusat latihan silat ditutup berikutan kes cabul yang dituduhkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

