Status kolam udang terbiar masih misteri

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor didesak mendedahkan status pemilikan dan pengurusan kolam udang di Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor yang terbiar sejak sekian lama.
Datuk Noorazley Yahya (PN-Bukti Melawati) berkata, sehingga kini tiada penjelasan rasmi mengenai siapakah pemilik sebenar tanah-tanah kolam udang tersebut dan apakah agensi atau syarikat yang menguruskannya.
"Rakyat berhak mengetahui status sebenar aset negeri yang bernilai tinggi ini," katanya semasa sesi perbahasan Belanjawan Negeri Selangor 2026 pada Selasa.
Beliau menjelaskan, beberapa persoalan utama memerlukan jawapan jelas daripada kerajaan negeri termasuk keluasan keseluruhan tanah terlibat, tempoh pajakan diberikan dan jumlah pulangan ekonomi kepada kerajaan sepanjang tempoh pajakan tersebut.
"Luas kawasan menentukan potensi pembangunan semula dan nilai ekonomi yang boleh dijana.
"Kita juga perlu mengetahui berapa banyak hasil, dividen atau bayaran sewaan yang diterima kerajaan negeri sekiranya tanah ini diusahakan oleh pihak ketiga," ujar beliau.
Sehubungan itu, katanya, beliau mencadangkan sebahagian tanah terbiar dijadikan Projek Perumahan Mampu Milik (RMM) terutama dalam keadaan rakyat menghadapi masalah kos sara hidup dan kekurangan pemilikan rumah.
"Jika benar terdapat lot-lot lama ditinggalkan, saya mencadangkan pertimbangan untuk membangunkan projek RMM di kawasan sesuai daripada tanah kolam udang yang terbiar ini.
"Dalam Belanjawan Selangor yang dibentangkan baru-baru ini, tiada skop RMM diumumkan khusus untuk Kuala Selangor dan keadaan ini perlu diatasi," ujarnya.
Dalam pada itu, Noorazley turut membangkitkan isu keselamatan dan kesesakan di Sekolah Rendah Agama Assam Jawa, Kuala Selangor berikutan pertambahan jumlah pelajar selain kenderaan ibu bapa menghantar serta mengambil anak setiap hari.
Beliau berkata, kedudukan sekolah itu yang terletak betul-betul di tepi Laluan FT05 (Jalan Klang–Teluk Intan) iaitu jalan empat lorong dengan aliran trafik laju dengan jumlah kenderaan berat menyebabkan situasi berbahaya terutama kepada murid yang perlu melintas jalan.
"Ketiadaan tempat menunggu khas menimbulkan ancaman keselamatan bukan saja kepada murid, malah ibu bapa.
"Banyak kenderaan berat melalui kawasan itu menyebabkan hendak melintas pun rasa tidak selamat dengan keadaan jalan terlalu sibuk," ujar beliau.
Menurutnya, tapak bagi pembinaan kawasan parkir dan ruang menunggu sudah tersedia, namun hanya menunggu peruntukan daripada kerajaan negeri.
"Saya memohon kerajaan negeri melalui Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor mempertimbangkan kelulusan peruntukan untuk menyediakan ruang parkir dan menunggu di sekolah terbabit demi keselesaan dan keselamatan anak-anak,” katanya.
Beliau turut memetik kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung program bantuan sekolah yang bertujuan membaik pulih infrastruktur dan menyediakan persekitaran kondusif.
"Dengan adanya ruang menunggu dan parkir, barulah sekolah dapat menjadi lebih selamat dan kondusif untuk murid serta ibu bapa," tambah beliau.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor didesak mendedahkan status pemilikan dan pengurusan kolam udang di Kampung Assam Jawa
- Tiada penjelasan rasmi mengenai pemilik sebenar dan agensi atau syarikat yang mengurus kolam udang tersebut
- Rakyat berhak mengetahui status sebenar aset negeri tersebut
- Kolam udang terbiar dicadangkan untuk dijadikan projek perumahan mampu milik bagi mengatasi masalah kos sara hidup
- Isu keselamatan dan kesesakan di Sekolah Rendah Agama Assam Jawa disebabkan jumlah pelajar dan laluan kenderaan berat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

