PKP: Hukuman penjara, denda jika abai haiwan peliharaan

Gambar hiasan. FOTO: 123rf
Gambar hiasan. FOTO: 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pemilik haiwan peliharaan yang berhajat pulang ke kampung halaman susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mesti bertanggungjawab ke atas kesejahteraan haiwan di bawah jagaan mereka termasuk tempat tinggal, penjagaan kesihatan dan diet.

Jika tidak berbuat demikian, pemilik haiwan berkenaan boleh didenda maksimum RM75,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, atau, kedua-duanya sekali di bawah Akta Kebajikan Haiwan (AWA) 2015.

Peguam Nor Zabetha Muhammad Nor berkata, menurut akta berkenaan, semua pemilik haiwan dikehendaki bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesejahteraan haiwan peliharaan mereka.

“Di bawah Seksyen 24, pemilik haiwan peliharaan dan pemilik berlesan mempunyai tanggungjawab tertentu yang perlu dipatuhi.

“Beberapa langkah perlu diambil untuk memastikan keperluan haiwan peliharaan mereka dipenuhi termasuk keadaan persekitaran dan diet sesuai; boleh mempamerkan tingkah laku biasa; ditempatkan atau dipisahkan daripada haiwan lain; serta melindungi haiwan kesayangan mereka daripada kesakitan, penderitaan, kecederaan dan penyakit,” katanya kepada Bernama hari ini.

Nor Zabetha berkata, pemilik haiwan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 44 (1) (d) Akta Haiwan 1953 (Pindaan 2006), jika mereka meninggalkan haiwan peliharaan tanpa penjagaan yang betul seperti tidak cukup makan dan dikurung dalam sangkar atau rumah, yang mana boleh mengakibatkan kesakitan atau penderitaan kepada haiwan terbabit.

“Jika didapati bersalah, pemilik haiwan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun meninggalkan haiwan bersendirian dan disediakan makanan di rumah, langkah itu adalah tidak tepat kerana pemilik berkemungkinan mengambil masa lebih lama untuk kembali ke rumah mereka dan ia boleh menyebabkan penderitaan haiwan terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Meminta bantuan seseorang untuk datang ke rumah adalah langkah kurang bagus ketika tempoh PKP ini kerana pergerakan adalah terhad. Haiwan kesayangan adalah sebahagian daripada ahli keluarga, jadi berikan layanan sebetulnya sebagai ahli keluarga.

“Nasihat saya, jangan bersikap kejam ke atas mereka. Jika pelihara anjing hanya untuk mengikat mereka semata-mata atau menjadi penjaga keselamatan anda, itu adalah salah. Berhenti layan anjing seperti hamba. Haiwan tidak bersalah dan bersifat murni, kita sebagai manusia yang sepatutnya melindungi mereka dengan kasih sayang,” katanya.

Berkongsi pendapat sama, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, pemilik haiwan peliharaan boleh meletakkan haiwan kesayangan mereka di bawah jagaan ahli keluarga atau kawan yang boleh menjaga haiwan itu.

Beliau berkata, pemilik harus lebih berhati-hati kerana haiwan peliharaan mereka adalah benda hidup yang memerlukan air, makanan dan perhatian yang mencukupi untuk terus hidup.

“Setengah pemilik mempunyai lebih daripada seekor haiwan di bawah jagaan mereka, misalnya mereka ada tujuh ekor anak kucing... Mereka disaran supaya menghantar haiwan peliharaan ke pusat jagaan berdekatan jika berkemampuan. Untuk pastikan keselamatan haiwan kesayangan, jangan sesekali biarkan mereka bersendirian di rumah, sila maklumkan kepada pihak berkuasa jika perlu,” katanya.

Sejak PKP dilaksanakan mulai minggu lalu, ramai bergegas pulang ke kampung masing-masing dan semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh lanjutan perintah berkenaan sehingga 14 April sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19. - Bernama