Kes rasuah RTK, pegawai ditukar tempat bertugas

Zakaria meninjau reruai hidangan yang disediakan dalam sambutan Deepavali Peringkat JIM Kuala Lumpur pada Selasa.
Zakaria meninjau reruai hidangan yang disediakan dalam sambutan Deepavali Peringkat JIM Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengambil tindakan penukaran bahagian bertugas terhadap pegawai yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan kes rasuah bagi mempercepatkan proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pertukaran akan dibuat ke tempat tidak berisiko.

"Setiap kes yang ditahan merupakan kerjasama JIM dengan SPRM dan kita sentiasa terus bersama agensi penguatkuasaan lain bagi ambil tindakan terhadap pegawai yang langgar salah laku.

"Buat masa ini, kita hanya boleh tempatkan mereka (pegawai terbabit) di tempat selain daripada tempat mereka berada sekarang, maksudnya kita akan buat reshuffle.

"Mungkin di tempat-tempat yang tidak begitu berisiko," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat JIM Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Turut hadir Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.

Tambah Zakaria, tindakan lanjut akan menyusul selepas siasatan SPRM.

"Di bawah peraturan tatatertib, apabila sahaja dia dituduh, pihak jabatan perlu menahan kerja," ujarnya.

Dalam pada itu, seramai 60 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dibuang kerja atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah dan 301 kes tatatertib bagi tempoh sejak 2022 hingga tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagi statistik kes tatatertib tahun lalu merekodkan 254 kes, manakala tahun ini (setakat 17 November) ada 199 kes," katanya.

12 November lalu, SPRM menahan 11 individu termasuk 10 pegawai serta seorang pesara agensi penguat kuasa kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah bagi mempercepatkan proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program RTK.

Kesemua suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Ops Bleach yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM.

Susulan tangkapan tersebut, SPRM menyita wang tunai berjumlah lebih RM116,000, 14 unit peranti telekomunikasi, barang kemas dan kepingan emas, tiga kereta serta dua motosikal.

Ringkasan AI

  • Jabatan Imigresen Malaysia akan mengambil tindakan pertukaran bahagian bertugas terhadap pegawai yang disiasat oleh SPRM berkenaan kes rasuah dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja
  • Pertukaran akan dibuat ke tempat yang tidak berisiko untuk pegawai terbabit
  • Seramai 60 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia dibuang kerja atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah sejak 2022 hingga tahun ini
  • SPRM menahan 11 individu termasuk 10 pegawai Imigresen dan seorang pesara kerana disyaki terlibat dalam rasuah untuk mempercepatkan proses permohonan Program RTK
  • SPRM menyita wang tunai lebih RM116,000, barang kemas, dan beberapa kenderaan dalam Ops Bleach yang dijalankan di sekitar Lembah Klang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!