Banjir Kampung Pasir: Komuniti tak pernah putus harapan

Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Haffiz Ahmad (tiga, kanan) bersama kepimpinan setempat dan penduduk turun padang meninjau keadaan pintu air yang rosak di Kampung Pasir sehingga menyebabkan banjir kilat melanda lagi minggu lalu.
Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Haffiz Ahmad (tiga, kanan) bersama kepimpinan setempat dan penduduk turun padang meninjau keadaan pintu air yang rosak di Kampung Pasir sehingga menyebabkan banjir kilat melanda lagi minggu lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Di Kampung Pasir, bunyi deruan air Sungai Skudai ketika air pasang bukan sekadar tanda perubahan cuaca, bagi penduduk di sini ia adalah isyarat bersiap sedia.

Setiap kali paras air naik, komuniti ini tahu mereka perlu bergerak pantas. Anak-anak membantu mengangkat barang, jiran bergotong-royong menutup pintu rumah dengan guni pasir dan warga emas memerhati dengan bimbang apakah rumah mereka sekali lagi akan dinaiki air.

Banjir di Kampung Pasir bukan sekadar bencana berkala; ia menjadi sebahagian daripada identiti dan realiti hidup masyarakat di sini sejak berdekad lamanya.

Kami dah biasa, tapi tetap diperduli – Suara penduduk

Penduduk lama, Othman Sidek, menyifatkan setiap kali banjir berlaku, komuniti Kampung Pasir akan bergantung kepada kekuatan sesama sendiri terlebih dahulu.

OTHMAN
OTHMAN

“Kami orang kampung dah lama hidup dengan risiko ini. Bila air naik, jiranlah yang dulu bantu angkatkan barang, tolong tengok rumah orang tua,” katanya.

Namun, mereka juga tidak melupakan pihak yang telah membantu sejak dahulu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Othman, pembinaan benteng oleh Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat (Tok Mat) adalah antara usaha terawal yang benar-benar memberi perubahan kepada keselamatan kampung.

Bagi Sharipah Ali pula, bantuan tetap datang setiap kali banjir melanda daripada UMNO Bahagian Pulai, MBJB, agensi kerajaan dan sukarelawan tempatan dan ia menunjukkan bahawa komuniti Kampung Pasir tidak pernah dibiarkan berjuang bersendirian.

SHARIPAH
SHARIPAH

Akar masalah: Kedudukan kampung yang rendah

Menurut laporan JPS dan MBJB, Kampung Pasir berada pada paras hampir sama dengan laut dan berhampiran muara Sungai Skudai. Ini menjadikan aliran air tersekat ketika air pasang besar, terutama apabila digabungkan dengan hujan lebat di hulu.

  • Tiga punca utama dikenal pasti:
  • Kedudukan tanah rendah.
  • Kerosakan pintu air seperti insiden 8 November 2025.
  • Sistem saliran lama dan mendapan sungai.

Penduduk bukan sahaja memahami punca teknikal ini tetapi mereka sendiri merasainya setiap tahun.

Sejarah komuniti berjuang: Dari benteng hingga pintu air

Perjalanan panjang komuniti Kampung Pasir dalam menghadapi banjir bermula sejak era Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat, atau lebih dikenali sebagai Tok Mat sebagai Ahli Parlimen Pulai. Pada akhir 1970-an, setelah melihat sendiri bagaimana penduduk sering terpaksa berdepan banjir air pasang, beliau menggerakkan pembinaan benteng tebatan banjir di sepanjang tebing Sungai Skudai.

Benteng itulah yang menjadi pelindung asas kepada ramai penduduk sehingga hari ini.

Selain itu, Tok Mat turut menubuhkan jawatankuasa bencana kampung untuk menyelaras bantuan apabila banjir melanda, dan beliau juga membantu ramai penduduk menukar tanah TOL kepada geran individu.

Langkah-langkah ini bukan sahaja mengurangkan risiko banjir, tetapi turut memperkukuh keselamatan tempat tinggal komuniti dari aspek jangka panjang.

Apabila baton kepimpinan bertukar kepada anaknya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, kesinambungan perjuangan ini diteruskan dengan pendekatan yang lebih moden.

Beliau mengusulkan pembinaan dua pintu air baharu; satu di Kampung Pasir dan satu lagi di Tampoi Utama, sebagai usaha meningkatkan kawalan terhadap aliran air semasa air pasang dan hujan lebat.

Selain itu, pelbagai peruntukan kecil turut disalurkan bagi kerja-kerja seperti mendalamkan parit utama, menyelenggara pam air dan menambah baik saliran.

Walaupun usaha-usaha ini berlaku dalam tempoh pentadbiran UMNO ketika itu, bagi penduduk Kampung Pasir, ia dilihat sebagai sebahagian daripada perjalanan kolektif komuniti dalam memastikan kampung mereka terus selamat dan mampu bertahan berdepan bencana saban tahun.

Agensi kerajaan dan komuniti: Kerjasama berterusan

Menurut Ketua Kampung, Zaini Sinong, setiap kali banjir berlaku, pentadbiran kampung, JPS, MBJB dan sukarelawan tempatan akan segera bergerak membantu mangsa.

ZAINI
ZAINI

Ahli Majlis MBJB Zon Tampoi, Ahmad Al Mubarak Mohamed Kunyi, turut mengakui banyak projek mitigasi banjir hari ini bermula daripada cadangan pemimpin Pulai terdahulu dan kini MBJB memperkukuhnya dengan sistem pam automatik serta pelan naik taraf saliran menyeluruh.

Kerajaan negeri dan JPS juga sedang memperincikan pelan jangka panjang bagi mengatasi banjir di kawasan rendah termasuk Kampung Pasir dan Tampoi Utama.

Bantuan semasa: Tangan-tangan yang terus menghulur

Dalam banjir kilat terbaru, setiap keluarga terjejas menerima bantuan RM200 daripada Yayasang Bandaraya Johor Bahru dan Mohd Haffiz sendiri menyampaikan dengan sokongan pelbagai pihak termasuk UMNO Bahagian Pulai.

Mohd Haffiz bersama Setiausaha Umno Bahagian Pulai, Datuk Abdul Rashid Kasman (dua, kiri) dan Ahmad Al Mubarak (empat, kiri) menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Bandaraya Johor Bahru untuk mangsa banjir Kampung Pasir.
Mohd Haffiz bersama Setiausaha Umno Bahagian Pulai, Datuk Abdul Rashid Kasman (dua, kiri) dan Ahmad Al Mubarak (empat, kiri) menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Bandaraya Johor Bahru untuk mangsa banjir Kampung Pasir.

Bagi penduduk, bantuan sebegini menjadi tanda bahawa komuniti Kampung Pasir masih diperhatikan, tidak kira siapa parti pemerintah.

Harapan komuniti: Penyelesaian menyeluruh

Isu banjir bagi penduduk Kampung Pasir bukan soal politik atau kepartian.

Ia tentang keselamatan rumah, masa depan anak-anak, dan kesinambungan kehidupan di kampung yang sudah mereka diami sejak beberapa generasi.

Walaupun UMNO pernah memainkan peranan penting membina asas mitigasi banjir, penduduk kini menaruh harapan kepada wakil rakyat baharu, Suhaizan Kaiat, untuk membawa penyelesaian tuntas yang benar-benar menyeluruh.

Mereka percaya bahawa isu Kampung Pasir hanya boleh diselesaikan melalui kerjasama semua pihak; kerajaan negeri, agensi teknikal, pihak berkuasa tempatan, pemimpin masyarakat dan komuniti sendiri.

INFO FAKTA: BANJIR KAMPUNG PASIR

• Jenis: Banjir air pasang & limpahan Sungai Skudai

• Punca: Tanah rendah, pintu air rosak, saliran lama

• Tahun utama: 1977, 1984, 1998, 2006, 2013, 2021, 2023 & 2025

• Usaha sejak dulu: Benteng (1970-an), pintu air (2000-an), 

• Agensi terlibat: Kerajaan Negeri Johor, JPS Johor, MBJB, Pejabat MP Pulai, NADMA, UMNO Bahagian Pulai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!