Air Sungai Perak berubah warna: Operasi dua syarikat digantung

Foto tular di media sosial keadaan air di Sungai Perak bertukar kebiruan. Foto orang awam
Foto tular di media sosial keadaan air di Sungai Perak bertukar kebiruan. Foto orang awam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lepas meluluskan tindakan menghentikan sementara operasi dua syarikat perlombongan selama tiga minggu di kawasan hulu Sungai Perak iaitu MCRE Resources Sdn Bhd dan Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd.

MCRE Resources terlibat dalam perlombongan unsur nadir bumi manakala Rahman Hydraulic Tin mengendalikan lombong bijih timah terbuka terbesar di Malaysia yang terletak di Klian Intan, Perak.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang turut menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, operasi kedua-dua syarikat dihentikan sementara susulan insiden perubahan warna air Sungai Perak baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika sesi Kamar Khas Dewan Rakyat pada Rabu.

Mengupas dapatan awal, Johari memaklumkan bahawa sampel pelepasan dari tapak MCRE Resources menunjukkan tona kebiruan yang hampir sama dengan perubahan warna yang dikesan di sungai tersebut.

Beliau juga berkata, sisa daripada proses in-situ leaching di tapak berkenaan mencatatkan bacaan sehingga 13 becquerel iaitu jauh melebihi had satu becquerel yang dibenarkan dalam penilaian impak alam sekitar.

"Oleh itu, siasatan kini memberi tumpuan kepada jenis bahan kimia yang digunakan dalam proses melarut gali dan sama ada ia selaras dengan maklumat yang telah dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan bahawa insiden perubahan warna air Sungai Perak tular pada 21 Oktober apabila gambar keadaan air di Jambatan Kampung Sungai Papan, kira-kira lima kilometer ke utara Kampung Air Ganda, Gerik, menunjukkan ia bertukar kebiruan di media sosial.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, kejadian itu dipercayai berkaitan dengan aktiviti perlombongan mineral namun siasatan terperinci sedang dilakukan bagi menentukan punca sebenar. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan tindakan menghentikan sementara operasi dua syarikat perlombongan di kawasan hulu Sungai Perak
  • MCRE Resources terlibat dalam perlombongan unsur nadir bumi dan Rahman Hydraulic Tin mengendalikan lombong bijih timah
  • Penghentian sementara ini susulan insiden perubahan warna air Sungai Perak
  • Sampel dari MCRE Resources menunjukkan tona kebiruan yang sama dengan warna sungai yang berubah
  • Sisa dari proses in-situ leaching di tapak MCRE Resources mencatatkan bacaan melebihi had yang dibenarkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!