LRT Laluan Mutiara masuki fasa utama, kos dioptimumkan bawah RM16 bilion

GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara kini memasuki fasa utama pembinaan dan dijangka menjadi antara sistem pengangkutan bandar paling berpatutan serta mampan dari segi kewangan di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, projek yang dahulunya dikenali sebagai Laluan Bayan Lepas itu dijangka melibatkan kos kurang daripada RM16 bilion, meskipun membabitkan peningkatan kos akibat inflasi, pengambilan tanah serta pembinaan jambatan sepanjang lima kilometer yang akan menghubungkan Komtar ke Penang Sentral di Butterworth.
Menurutnya, kos asal yang dianggarkan sebanyak RM10 bilion tidak mengambil kira faktor pengambilan tanah serta sambungan ke Butterworth.
“Penambahan ini kebiasaannya akan menyebabkan kos meningkat kepada RM18 atau RM19 bilion. Namun, melalui langkah-langkah pengoptimuman kos, kerajaan berjaya menjimatkan antara RM2 hingga RM3 bilion.
“Ini bukan soal menaikkan angka tetapi kita menyusun semula projek ini agar pelaksanaannya praktikal, pembaziran minimum dan memberi pulangan jangka panjang yang maksimum,” katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Media di sini pada Selasa.
Sementara itu, Mohd Zarif memaklumkan bahawa tender bagi pembinaan jambatan dijangka akan dibuka pada Oktober ini.
Tambah beliau, MRT Corp masih dalam rundingan bersama kerajaan negeri bagi membolehkan tanah milik kerajaan negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) digunakan, sekali gus dapat mengurangkan kos pengambilan tanah.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek ini merupakan projek LRT utama pertama yang diketuai sepenuhnya oleh pihak tempatan dan dijangka menjadi penanda aras baharu bagi pengangkutan awam yang mampan di Malaysia.
“Kos operasi dijangka akan ditampung sebahagiannya melalui hasil pengiklanan dan peruncitan.
“Kita menyasarkan untuk mencapai tahap kewangan mampan dalam tempoh lima tahun selepas operasi dimulakan dan mencapai titik pulang modal merupakan matlamat utama kami,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zarif berkata, LRT Mutiara akan menggunakan sistem automasi Tahap 3, berbanding Tahap 4 seperti yang digunakan di Singapura dan Kuala Lumpur.
“Tren akan bergerak secara automatik tetapi masih dikendalikan oleh petugas di dalam tren yang membuat keputusan masa nyata sekiranya berlaku sebarang situasi luar jangka.
“Pendekatan ini lebih mudah, kurang kompleks dan menjimatkan kos penyelenggaraan,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, projek ini akan dibina dalam 24 segmen dengan enam daripadanya diselang-selikan untuk menjaga kelancaran aliran trafik kenderaan.
“Aktiviti di tapak pembinaan dijangka akan meningkat dengan ketara menjelang Ogos depan,” katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa tapak depoh yang sebelum ini dirancang berkeluasan kira-kira 15 hektar di Tapak Pesta Pulau Pinang telah dikecilkan kepada hanya kira-kira 4.5 hektar, selaras dengan usaha pengoptimuman tanah dan pelarasan reka bentuk.
“Setiap ringgit amat penting. Ini adalah infrastruktur yang tidak boleh dilepaskan oleh Pulau Pinang.
“Jika projek ini tidak diteruskan, negeri ini berisiko ketinggalan dari segi kesalinghubungan dan pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.
Projek LRT Laluan Mutiara dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2031 dengan perancangan untuk membina empat laluan penuh menjelang tahun 2050, selaras dengan matlamat mobiliti bandar jangka panjang negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

