Noorudin tekad wujudkan lebih banyak peluang kerja untuk belia Semporna

SEMPORNA - Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Noorudin Abdul Hussin menegaskan komitmennya untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia di Semporna.
Beliau berkata, komitmen itu selaras dengan potensi besar daerah berkenaan sebagai destinasi pelancongan yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya, termasuk pulau-pulau tumpuan seperti Pulau Sipadan, Pulau Mabul, Pulau Kapalai, Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mataking.
Noorudin, 39, yang merupakan anak jati Semporna berkata, industri pelancongan yang menjadi nadi ekonomi daerah seharusnya memberi manfaat optimum kepada penduduk tempatan, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia.
"Ada keluhan daripada belia apabila peluang pekerjaan diisi oleh mereka yang bukan dari kalangan masyarakat setempat. Kita mahu supaya keutamaan diberikan kepada penduduk tempatan, terutamanya golongan belia,” katanya kepada Bernama.
Noorudin, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda GRS DUN Bugaya berkata, martabat dan kemampuan belia Semporna perlu diperkukuh agar mereka dapat bersaing dalam pasaran pekerjaan yang semakin mencabar.
Katanya, 50 peratus penduduk Bugaya terdiri daripada golongan belia dan mereka sewajarnya diberi keutamaan untuk mengisi tenaga kerja di daerah yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa itu.
Selain memberi tumpuan kepada sektor pelancongan, Noorudin juga berhasrat memajukan industri pertanian dan penternakan yang telah lama diceburi penduduk Bugaya, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata, pelbagai bantuan dan inisiatif diwujudkan di bawah Kerajaan Madani bagi membantu pekebun kecil dan penternak, yang mampu memberi manfaat langsung kepada penduduk Bugaya.
Sehubungan itu, Noorudin yakin penduduk Bugaya yang mahukan perubahan dan pembangunan berterusan akan memberi mandat kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
DUN Bugaya mempunyai seramai 36,559 pengundi pada PRN ke-17 dan merupakan satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Semporna selain Sulabayan dan Senallang.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah, manakala 25 November bagi pengundian awal.
INFO
N66: BUGAYA: SABAH: 36,569
1. Jamil Hamzah (Warisan)
2. Noorudin Abdul Hussin (GRS-Gagasan Rakyat)
3. Maulana Unding (Aspirasi)
4. Roslan Ali (PR)
5. Mohd Taha Mohd Dara (STAR)
6. Arman Marasal (PIS)
7. Suffian Ahmad (Rumpun)
8. Jamil Abdul Gapar (PN-Bersatu)
9. Abdul Manan Indanan (BN-UMNO)
(2020: Manis Muka Mohd Darah: Warisan Plus-Warisan: Majoriti: 6,005)
- Bernama
Ringkasan AI
- Noorudin Abdul Hussin berkomitmen untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia di Semporna
- Potensi besar Semporna sebagai destinasi pelancongan disebut sebagai peluang untuk meningkatkan ekonomi lokal
- Noorudin menyatakan industri pelancongan harus memberi manfaat kepada penduduk tempat terutamanya golongan belia
- Beliau juga ingin memajukan industri pertanian dan penternakan di Bugaya sebagai sumber peluang pekerjaan lain
- Noorudin yakin penduduk Bugaya akan memberi mandat kepadanya dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

