PRN Sabah: Bekas ahli tanding bebas tidak jejaskan kekuatan GRS - Hajiji

Hajiji ketika melancarkan manifesto PRN GRS di SICC, Kota Kinabalu pada Isnin.
Hajiji ketika melancarkan manifesto PRN GRS di SICC, Kota Kinabalu pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan beberapa bekas ahli parti yang bertanding atas tiket bebas dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) tidak menjejaskan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi pilihan raya kali ini.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa tindakan mereka sedikit pun tidak mengubah sebarang strategi gabungan itu untuk menang dalam PRN17.

"Itu hak mereka, tapi tidak menjejaskan kekuatan GRS dalam pilihan raya akan datang ini. Tidak ada (berubah)," katanya ringkas kepada pemberita selepas melancarkan Manifesto PRN17 GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Isnin.

Beliau sebelum itu ditanya mengenai perpaduan dalam GRS susulan tindakan bekas penyandang beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mengambil keputusan bertanding atas tiket bebas selepas nama mereka tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

Antara bekas penyandang tersebut ialah calon bebas DUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan; calon bebas DUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari; calon bebas DUN Kukusan, Datuk Rina Jainal dan seorang ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Roland Chia juga turut bertanding bebas di DUN Inanam.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan seorang calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Silam, Abdul Halim Sidek Gulam yang menarik diri daripada PRN kali ini, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. 

"Itu dia tarik diri, itu parti PH. Saya tidak mahu komen," katanya.

Sebelum itu, ketika berucap mengenai pelancaran manifesto GRS Hajiji berkata, ia adalah deklarasi akujanji, komitmen dan perancangan strategik GRS kepada rakyat Sabah yang akan menentukan pembentukan kerajaan menerusi pilihanrayapada 29 November ini.

Katanya, manifesto bertemakan 'Rumah Kita, Kita Jaga – TanahAir Maju, Rakyat Berkemajuan' itu bakal membawa Sabah ke satu era baharu yang lebih baik selaras usaha kerajaan GRS membangunkan negeri berpandukan hala tuju Sabah MajuJaya(SMJ).

Artikel Berkaitan:

"Maka pada hari ini, atas nama perjuangan dan komitmen GRS, kita lancarkan Manifesto GRS, sebagai deklarasi aku janji, komitmen dan perancangan strategik parti GRS kepada rakyat Sabah untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

"Deklarasi aku janji, komitmen dan perancangan strategik GRS ini berdasarkan kepada empat tunjang utama perjuangan dalam membela hak-hak rakyat dan kedaulatan Negeri Sabah, iaitu Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah Ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah Yang Bersatu).

"Empat tunjang utama perjuangan ini sebenarnya telahpun kita zahirkan semasa pelancaran GRS pada 28 Mei 2022. Justeru, berteraskan asas ini maka kita tawarkan ia sebagai tunjang Manifesto kita untuk membawa Sabah ke mercu kejayaan pada masa akan datang," katanya.

Ringkasan AI

  • Tindakan bekas ahli parti bertanding atas tiket bebas tidak jejas GRS di PRN17
  • Hajiji yakin strategi GRS tidak berubah
  • Manifesto PRN17 GRS dilancarkan dengan tema 'Rumah Kita, Kita Jaga – Tanah Air Maju, Rakyat Berkemajuan'
  • GRS berkomitmen kepada empat tunjang utama iaitu Sabah Diutamakan, Sabah Melangkah Ke Hadapan, Sabah Maju Jaya dan Sabah Yang Bersatu
  • Manifesto GRS adalah deklarasi aku janji kepada rakyat Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!