Gempur dadah habis-habisan

JENAYAH penyeludupan dadah kembali menjadi perhatian apabila isu itu dilontarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sudah pasti apabila bercakap tentang dadah ia akan mengaitkan penglibatan sindiket mahu pun kartel hinggalah ke peringkat tokan kecil.
Ini sudah pasti menjadi cabaran terbesar negara dengan trend semasa penggunaan dadah sintetik, penglibatan remaja serta taktik penyeludupan semakin kompleks.
Tahniah di atas tindakan tanpa jemu menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Lebih membimbangkan, ada antara penagihan kes melibatkan pelajar sekolah yang terdedah akibat pengaruh sebaya dan tekanan sosial.
Bukan itu sahaja, Malaysia turut berdepan ancaman penyeludupan dari dari luar selain pelabuhan yang dijadikan transit oleh sindiket.
Bahkan, lebih berani apabila sindiket merekrut individu sebagai ‘keldai’ untuk membawa dadah ke destinasi tertentu melalui lapangan terbang selain penyeludupan menggunakan kurier.
Dalam satu kenyataan akhbar Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, usaha membanteras sindiket dadah rentas sempadan sememangnya fokus utama PDRM dalam memastikan keselamatan negara.
Kata Khalid, melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), pihaknya secara berterusan menumpukan pemantauan terhadap jaringan pengedaran dadah antarabangsa dengan modus operandi utama ialah menggunakan laluan laut dan kontena kargo.
Justeru, ini sekali gus langkah penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan tegas dan sistematik.
Tidak keberatan kerajaan disaran menggubal akta berkaitan dadah agar lebih dominan dengan situasi dan kes semasa hari ini.
Sudah pasti dadah sindiket menjadi cabaran global hari ini dan langkah drastik dan segera perlu diambil pihak kerajaan.
Kegagalan menangani isu dadah memberi kesan langsung kepada keselamatan, kesihatan dan ekonomi negara.
Peningkatan jenayah, keruntuhan institusi keluarga serta kerugian produktiviti pekerja menjadi antara impak yang membimbangkan.
Melihat skala ancaman yang semakin serius, isu dadah di Malaysia menuntut pendekatan holistik, menggabungkan pendidikan, pencegahan, rawatan, komuniti dan teknologi baharu agar generasi muda tidak terus menjadi mangsa dan negara bebas daripada ancaman dadah yang berlarutan.
Ringkasan AI
- Jenayah penyeludupan dadah kembali menjadi perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengangkat isu tersebut
- Penglibatan remaja dan taktik penyeludupan yang semakin kompleks menjadi cabaran besar negara
- Pelbagai agensi termasuk PDRM dan JKDM bekerja tanpa jemu dalam operasi penguatkuasaan
- Penyeludupan dadah melibatkan sindiket yang menggunakan laluan laut dan kontena kargo serta merekrut individu sebagai 'keldai'
- Isu dadah menuntut pendekatan holistik yang menggabungkan pendidikan, pencegahan, rawatan, dan penggunaan teknologi baru
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
