Kartel dadah 20 tahun: Tanda kelemahan serius kawalan sempadan

SEMALAM, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kewujudan kartel besar yang menyeludup dadah menggunakan kontena dari Pelabuhan Klang sejak 20 tahun lalu, namun tidak ada sebarang tindakan tegas sepanjang tempoh itu.
Anwar berkata, beliau tidak boleh bertolak ansur mengenai perkara itu dan kemudian mengambil beberapa langkah susulan.
Beliau turut menemui ketua-ketua agensi setiap minggu dan bertemu dengan mereka selama satu jam bagi mengetahui perkembangan semasa mengenai isu berkenaan.
Pendedahan mengenai kartel itu membuka dimensi baharu terhadap tahap ancaman jenayah terancang di negara ini.
Lebih membimbangkan, kegiatan ini didakwa berlarutan tanpa sebarang tindakan tegas, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai integriti, ketelusan serta keberkesanan agensi penguat kuasa negara.
Hakikat bahawa kartel berkenaan mampu bertahan selama 20 tahun menunjukkan mereka bukan pemain kecil, sebaliknya kumpulan yang memiliki rangkaian kukuh dan peruntukan modal besar.
Ini menimbulkan beberapa kebimbangan utama termasuk dari segi ancaman keselamatan negara.
Jika operasi kartel ini terus berfungsi dalam tempoh begitu lama, ia menandakan adanya kelemahan serius dalam kawalan sempadan, integriti pegawai serta sistem logistik negara.
Bukan itu sahaja, negara juga berisiko menjadi hab transit antarabangsa. Dengan akses mudah melalui pelabuhan utama, kartel berpotensi menjadikan Malaysia sebagai laluan strategik penyeludupan dadah ke rantau Asia Tenggara dan seterusnya.
Selain itu, kenyataan Anwar mengadakan pertemuan mingguan selama satu jam bersama ketua agensi menunjukkan pendirian tegas beliau bagi memantau secara dekat, memastikan tidak ada ruang lagi untuk kelalaian, ketirisan atau kompromi.
Tentunya, pendedahan ini hanyalah titik permulaan kepada usaha lebih besar. Realitinya, perjalanan Malaysia dalam memerangi kartel sebegini masih jauh.
Dalam menghadapi ancaman sebesar ini, negara memerlukan sokongan semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, agensi keselamatan, masyarakat sivil, sektor swasta dan rakyat.
Hanya melalui kerjasama dan tekad kolektif, barulah Malaysia mampu memutuskan pengaruh kartel dan memastikan keselamatan negara terjamin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

