Jurang pembangunan di bandar dan luar bandar Sabah berbeza

Pembangunan di Sabah masih tidak seimbang kerana kawasan pedalaman berdepan kekurangan ketara walaupun bandar-bandar utama seperti Kota Kinabalu menunjukkan kemajuan lebih baik. Gambar hiasan
Pembangunan di Sabah masih tidak seimbang kerana kawasan pedalaman berdepan kekurangan ketara walaupun bandar-bandar utama seperti Kota Kinabalu menunjukkan kemajuan lebih baik. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar di Sabah masih ketara dan memerlukan perhatian serius apabila kemudahan asas seperti air bersih, elektrik, jalan raya dan akses internet didapati tidak seimbang di sesetengah lokasi.

Profesor Sosiologi Politik Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Novel Lyndon berkata, masalah paling mendesak ketika ini adalah isu asas seperti air bersih, bekalan elektrik stabil serta jalan tidak berturap di kawasan pedalaman.

Beliau menambah, pembangunan di Sabah masih tidak seimbang kerana kawasan pedalaman berdepan kekurangan ketara walaupun bandar-bandar utama seperti Kota Kinabalu menunjukkan kemajuan lebih baik.

“Keadaan di bandar dan luar bandar khususnya pedalaman berbeza sebab masih ada jalan-jalan tertentu yang perlu diturap, manakala di kawasan pedalaman, gangguan elektrik dan sebagainya masih berlaku.

“Jadi, pembangunan itu ada jurang besar antara bandar dan luar bandar khususnya kawasan pedalaman di Sabah," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas tahap pembangunan semasa, Novel menjelaskan bahawa kadar pembangunan di pedalaman tidak mencapai 60 peratus, jauh lebih rendah berbanding kawasan bandar yang melebihi 80 peratus.

Namun Novel juga tidak menolak bahawa keadaan pembangunan Sabah ketika ini adalah lebih baik dan bertambah maju berbanding kira-kira lima tahun dahulu.

Beliau turut berpandangan, pembangunan di Sabah sebenarnya tetap berjalan walaupun agak lambat, namun masalah utama ialah aspek pemantauan projek.

Kongsinya lagi, keluasan negeri Sabah dan penempatan penduduk yang berselerak menjadikan kos pembangunan lebih tinggi berbanding negeri lain.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau juga menekankan keperluan meningkatkan penglibatan masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta dalam penyampaian pembangunan agar tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.

“Dengan adanya suara daripada rakyat, NGO dan pihak swasta, itu boleh mempercepatkan lagi proses pembangunan berbanding hanya menunggu bantuan kerajaan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar di Sabah masih ketara
  • Masalah utama adalah ketiadaan kemudahan asas seperti air bersih, elektrik, dan jalan raya
  • Kawasan pedalaman Sabah berdepan dengan kekurangan ketara berbanding dengan bandar-bandar utama
  • Kadar pembangunan di pedalaman Sabah tidak mencapai 60 peratus berbanding melebihi 80 peratus di kawasan bandar
  • Upaya mempercepat pembangunan dengan meningkatkan penglibatan masyarakat, NGOs, dan pihak swasta

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!