PNB hanya pemegang saham minoriti IJM, tiada kawalan keputusan - Fadillah

Fadillah pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
Fadillah pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permodalan Nasional Berhad (PNB) tidak mempunyai pengaruh ke atas sebarang keputusan korporat IJM Corporation Bhd (IJM), susulan dakwaan skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion yang membabitkan IJM.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, PNB hanyalah pemegang saham minoriti dalam IJM dengan pegangan kurang daripada 13.5 peratus, sekali gus tidak mempunyai keupayaan untuk menentukan hala tuju atau keputusan strategik IJM.

"Pendekatan ini adalah selaras dengan amalan biasa pasaran modal, di mana sesuatu tawaran am terbuka dinilai secara individu oleh setiap pemegang saham,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Dewan Rakyat hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan, tawaran oleh Sunway Bhd merupakan satu tawaran am sukarela iaitu tawaran yang dibuat secara sama rata kepada semua pemegang saham IJM.

"Tawaran am sukarela ini bukan urus niaga yang dirundingkan dengan mana-mana pemegang saham tertentu dan bukan tawaran disasarkan kepada PNB atau mana-mana institusi lain. Selain itu, mana-mana pihak lain berminat boleh mengemukakan tawaran alternatif yang kompetitif,” katanya.

Beliau berkata, PNB sebagai antara pemegang saham IJM, hanyalah penerima tawaran dalam kedudukan yang sama seperti semua pemegang saham lain.

Pada masa sama, Fadillah berkata, kerajaan tidak akan mencampuri sebarang siasatan berkaitan dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan transaksi pelaburan bernilai berbilion ringgit yang dikaitkan antara IJM Corp dan Sunway Bhd.

Beliau berkata, perkara itu akan diserahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, dilaporkan SPRM sedang menumpukan perhatian terhadap dakwaan membabitkan IJM berhubung dakwaan skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 billion dan telah mengenal pasti seorang anggota pengurusan tertinggi syarikat bergelar Tan Sri serta seorang penasihat syarikat sebagai individu berkepentingan.

Artikel Berkaitan:

SPRM juga sedang meneliti dakwaan manipulasi harga saham dan ia dipercayai berlaku ketika Sunway Group sedang berusaha untuk mengambil alih IJM menerusi satu urus niaga bernilai RM11 bilion. - Bernama

Ringkasan AI

  • PNB tidak mempunyai pengaruh ke atas keputusan korporat IJM kerana hanya pemegang saham minoriti dengan pegangan kurang daripada 13.5 peratus
  • Tawaran oleh Sunway Bhd kepada pemegang saham IJM adalah tawaran am sukarela yang dibuat secara sama rata kepada semua pemegang saham
  • PNB sebagai pemegang saham IJM adalah penerima tawaran dalam kedudukan yang sama seperti semua pemegang saham lain tanpa urus niaga khusus
  • Kerajaan tidak akan mencampuri siasatan berkaitan dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah antara IJM Corp dan Sunway Bhd, diserahkan kepada SPRM
  • SPRM sedang menumpukan perhatian pada dakwaan pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion dan manipulasi harga saham dalam urus niaga antara IJM dan Sunway Group

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!