Abu Bakar pangku tugas Hakim Besar Malaya

KUALA LUMPUR - Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dilantik melaksanakan kuasa dan tugas Hakim Besar Malaya bermula Sabtu lalu.
Tempoh pelaksanaan tugas itu dipangku sehingga kekosongan jawatan diisi secara rasmi.
Pelantikan Abu Bakar, 63, dibuat susulan persaraan wajib penyandangnya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, 66, pada Jumaat selepas berkhidmat selama 42 tahun dalam badan kehakiman.
Berdasarkan surat bertarikh 14 November lalu ditandatangani Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, pelantikan itu selaras dengan Seksyen 9(3)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Abu Bakar, 63, sebelum ini mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, pada 28 Julai lalu.
Beliau menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara pada 3 Julai lalu.
Sementara Hasnah pula dilahirkan pada 15 Mei 1959 memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 1 Ogos 1983 sebagai Penasihat Undang-Undang juga Peguam Kanan Persekutuan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Hasnah merupakan pegawai wanita pertama yang memegang jawatan Penolong Penasihat Undang-Undang di Selangor apabila dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen di Selangor pada 1994 dan seterusnya di Kuala Lumpur.
Ringkasan AI
- Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dilantik menjalankan kuasa Hakim Besar Malaya bermula Sabtu lalu
- Pelantikan dilakukan sehingga jawatan yang kosong diisi secara rasmi
- Pelantikan Abu Bakar, 63, dibuat susulan persaraan wajib penyandangnya, Hasnah, 66, pada Jumaat selepas berkhidmat selama 42 tahun dalam badan kehakiman.
- Pelantikan ini dibuat mengikut Seksyen 9(3)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964
- Hasnah adalah pegawai wanita pertama memegang jawatan Penolong Penasihat Undang-Undang di Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

