Mydin Mart dekatkan komuniti Shah Alam dengan harga mampu milik

SHAH ALAM – Mydin Mart terus mengukuhkan jenamanya dalam industri peruncitan apabila membuka cawangan ke-11 di Seksyen 13 di sini, dengan menampilkan konsep pasar mini yang lebih dekat dengan komuniti.
Pengarah Urusan Mydin Mart (Tri Shaas Sdn Bhd), Shaakir Siraj berkata, pembukaan cawangan baharu itu merupakan yang pertama untuk tahun ini dan bakal disusuli dengan satu lagi pembukaan di Olak Lempit, Banting pada bulan hadapan.
“Konsep Mydin Mart berbeza dengan hiperpasar kerana kami mahu menjadi kedai komuniti yang lebih mendekati pelanggan, bukan sekadar menunggu pelanggan datang.
“Di Mydin Mart, pelanggan boleh membeli barangan keperluan harian dalam masa 10 hingga 15 minit sahaja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Mydin Mart Seksyen 13, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, cawangan di Seksyen 13, Shah Alam itu menawarkan lebih 4,200 jenis produk yang merangkumi barangan basah, kering, keperluan rumah, barangan Muslim serta alat tulis dengan harga mampu milik.
“Dalam industri peruncitan, cabaran memang tidak pernah habis, tetapi kami percaya dengan strategi lokasi yang baik serta kepercayaan pelanggan terhadap jenama Mydin, insya-ALLAH perancangan untuk berkembang akan terus berjalan,” jelas beliau.

Mengulas mengenai promosi pembukaan, Shaakir berkata, pihaknya menawarkan potongan harga sehingga 90 peratus bagi barangan tertentu.
“Contohnya, mi kuning dijual pada harga 10 sen berbanding harga biasa RM1.79, bawang RM0.79, kentang RM0.99 sekilogram, ayam dada RM5.99 sekilogram serta beras Jasmine Sunwhite lima kilogram pada harga RM28.99,” katanya.
Bagi memberi lebih keselesaan kepada pelanggan di kawasan tersebut, beliau menjelaskan bahawa Mydin Mart akan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 11 malam.
“Ramai pelanggan di sekitar sini bekerja hingga lewat malam, termasuk golongan mahasiswa, jadi kami penuhi permintaan mereka dengan memanjangkan waktu operasi,” katanya.
Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, pembukaan cawangan baharu Mydin Mart di Seksyen 13 diyakini mampu merancakkan ekonomi setempat, selain memberi lebih banyak pilihan barangan keperluan harian kepada penduduk sekitar.
Jelas beliau, kehadiran pasar raya itu bukan sahaja menawarkan harga berpatutan tetapi turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Pembukaan Mydin Mart diharap dapat menggerakkan ekosistem ekonomi tempatan, selain membuka ruang pekerjaan khususnya kepada anak muda,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan pekerja di pasar raya tersebut terdiri daripada warga setempat, sekali gus membantu meningkatkan peluang kerjaya masyarakat.
Beliau berkata, kerajaan Selangor menyokong penuh usaha mana-mana pihak yang ingin berniaga secara sah di negeri itu serta terbuka untuk bekerjasama, khususnya dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Kita tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan kerjasama dengan pihak Mydin dalam program-program seperti Jom Shopping yang sebelum ini dijalankan di pasar raya lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

