Tak sempat nak bawa ibu pulang, pasangan maut nahas

Nahas mengorbankan pasangan suami isteri di Kilometer 54.5 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi petang Ahad. - Foto JBPM Johor
Nahas mengorbankan pasangan suami isteri di Kilometer 54.5 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi petang Ahad. - Foto JBPM Johor
A
A
A

KOTA TINGGI – Perjalanan sepasang suami isteri untuk mengambil ibu di Taman Sri Saujana bertukar tragedi apabila mereka maut dalam nahas di Kilometer 54.5 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi petang Ahad.

Mangsa, Nur Fatihah Othman, 28, dan suaminya, Muhamad Lokmanorhakim Mokhtar, 24, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas Perodua Myvi dinaiki terlibat nahas dengan dua kenderaan lain.

Lebih memilukan, anak tunggal pasangan itu, Nur Laylaa Batrysha, enam bulan, yang duduk di tempat duduk bayi di bahagian belakang terselamat, namun cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Abang mangsa, Norsaiful Othman, 36, berkata, arwah adiknya keluar dari rumah keluarga suami di Belungkor untuk menjemput ibu mereka yang kurang sihat.

“Adik anak bongsu daripada lima beradik. Dia memang tidak bekerja kerana menjaga ibu kami merupakan ibu tunggal yang kurang sihat.

Arwah Nur Fatihah (kanan) dan Muhamad Lokmanorhakim.
Arwah Nur Fatihah (kanan) dan Muhamad Lokmanorhakim.

"Saya difahamkan ketika kejadian dia dari rumah keluarga suaminya di Belungkor dalam perjalanan untuk ambil ibu di rumah abang dekat Taman Sri Saujana sebelum terlibat nahas itu," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT).

Menurut Norsaiful, arwah adiknya seorang yang ceria dan tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika mereka bertemu minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

“Kami tidak duduk serumah, saya duduk di kuaters di Felda Simpang Waha. Masa jumpa arwah itu dia macam biasa, tak ada nampak apa-apa yang lain. Tak sangka itu kali terakhir jumpa dia,” katanya lagi.

Tambahnya anak Allahyarham dalam keadaan stabil dan kini sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Pada awalnya anak mereka dirawat di HKT kemudian dirujuk ke HSI untuk rawatan lanjut. Keadaannya baik-baik sahaja dan stabil.

"Cuma ketika di hospital, dia menangis mungkin kerana terkejut dengan apa berlaku.

"Laylaa adalah anak bongsu dan anak tunggal adik dan suami. Adik sangat gembira dikurniakan cahaya matanya itu selepas berkahwin pada tahun 2023," katanya.

Jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Waha malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, siasatan awal mendapati Perodua Myvi terbabit hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Kemalangan berlaku apabila Myvi dipandu lelaki berusia 24 tahun masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan lori sawit tanpa muatan. Serpihan turut terkena Toyota Vios.

“Pemandu dan penumpang hadapan Myvi meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bayi perempuan di bahagian belakang cedera,” katanya.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ringkasan AI

  • Sepasang suami isteri maut dalam nahas di Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi ketika dalam perjalanan mengambil ibu
  • Anak tunggal mereka berumur enam bulan terselamat, namun cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail
  • Pasangan tersebut terlibat dalam kemalangan bersama dua kenderaan lain akibat Perodua Myvi yang mereka naiki hilang kawalan
  • Jenazah mereka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Waha
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!