Rasuah kalangan penjawat awam tidak selesai selagi wujud ruang godaan - IIM

Ahmad Ramdzan (tengah) bersama Badlishah Sham (kiri), Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail (kanan) dan tetamu menunjukkan kad Kempen Integriti dan Anti Rasuah 2025 ketika majlis pelancaran KIA 2025 di Conezion IOI Resort City, Putrajaya pada Ahad.
Ahmad Ramdzan (tengah) bersama Badlishah Sham (kiri), Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail (kanan) dan tetamu menunjukkan kad Kempen Integriti dan Anti Rasuah 2025 ketika majlis pelancaran KIA 2025 di Conezion IOI Resort City, Putrajaya pada Ahad.
A
A
A

PUTRAJAYA - Isu rasuah dalam kalangan penjawat awam tidak akan selesai selagi wujud ruang godaan dan kelemahan penyeliaan dalam agensi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Ahmad Ramdzan Daud berkata, walaupun kerajaan meletakkan Ketua Unit Integriti (KUI) daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di setiap agensi, pengawasan yang lemah masih membuka peluang berlakunya salah laku.

"Sekiranya mereka itu kita keluarkan, kita ganti dengan orang lain, kita tidak bawa keluar dari segi godaan, ia akan tetap berlaku.

"Penyeliaan dalaman adalah faktor kritikal dalam mana-mana organisasi dan tidak wajar bergantung sepenuhnya kepada SPRM," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Kempen Integriti dan Antirasuah (KIA) 2025 di Pejabat Pertubuhan Ikram (Ikram) Malaysia, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail dan Presiden Ikram Malaysia, Badlishah Sham Bahari.

Tambah Ahmad Ramdzan, pendidikan integriti perlu diperkasa sebelum seseorang memasuki alam pekerjaan kerana semata-mata bergantung kepada hukuman dan penguatkuasaan tidak akan menyelesaikan isu secara jangka panjang.

"Kita tidak boleh pergi kepada penguatkuasaan dan juga hukuman undang-undang dalam satu tempoh masa yang panjang, kita kena memperkukuhkan dari segi pendidikan," katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan sindiket jenayah sentiasa cuba mencari ruang dan peluang untuk mempengaruhi penjawat awam, justeru mekanisme pemantauan perlu diperkemas dari peringkat asas.

Dalam pada itu, Ahmad Ramdzan berkongsi, pihaknya sedang melaksanakan projek rintis pembangunan modul integriti untuk kanak-kanak bagi peringkat awal persekolahan sebagai usaha memperkukuh pendidikan moral sejak peringkat awal.

Artikel Berkaitan:

IIM kini mengendalikan projek rintis di beberapa lokasi bagi menilai penerimaan dan kaedah pembelajaran yang sesuai.

"Modul berkenaan bakal disasarkan kepada kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun dan membabitkan keseluruhan 24,785 pusat berdaftar di seluruh negara sama ada kerajaan atau swasta.

"Integriti ini seharusnya diteruskan, ia adalah satu pendidikan yang perlu ditanam daripada peringkat anak-anak sampai ke dewasa," katanya.

Mengulas lanjut, menurutnya, rundingan meja bulat turut diadakan bersama pemegang taruh termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), badan bukan kerajaan (NGO), pengusaha taman usaha kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanal-kanak (tadika) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memperhalusi kandungan modul.

"Kami mengharapkan bahawa modul ini akan dijadikan polisi oleh pihak kerajaan. Maklum balas yang diperoleh menerusi projek rintis ini akan digunakan untuk membentuk modul yang lebih komprehensif sebagai asas pendidikan oleh kerajaan," katanya.

Ringkasan AI

  • Isu rasuah di kalangan penjawat awam disebabkan ruang godaan dan kelemahan penyeliaan
  • Ketua Unit Integriti daripada SPRM di setiap agensi tidak menjamin penghapusan masalah rasuah sepenuhnya
  • Penyeliaan dalaman dan pendidikan integriti adalah kritikal untuk mencegah rasuah
  • Institut Integriti Malaysia melaksanakan projek rintis pembangunan modul integriti untuk kanak-kanak
  • Pendidikan dan pembentukan integriti seharusnya bermula dari peringkat awal pendidikan anak-anak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!