MAPIM jadikan Perak model lahirkan 1,000 sukarelawan

IPOH - Perak menjadi model negeri pertama melahirkan 1,000 sukarelawan ummah menjelang 2026 menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Aktivis Ummah yang digerakkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Presiden MAPIM, Muhammad Azmi Abdul Hamid berkata, pelan itu akan menjadi rangka kerja strategik bagi membangunkan gerakan sukarelawan yang tersusun dalam usaha pembentukan tenaga sukarelawan berkemahiran untuk misi kemanusiaan dan respon bencana.
"Sasaran utama pelan ini adalah melahirkan 1,000 sukarelawan ummah di negeri Perak dalam tahun pertama pelaksanaannya iaitu 2026.
"Itu cita-cita kami dan Perak akan menjadi model pembangunan sukarelawan ummah negara. Sasaran ini realistik dan mampu dicapai melalui latihan berstruktur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perhimpunan Sukarelawan Penggerak Ummah dan Humaniti Negeri Perak di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini pada Sabtu.
Majlis dirasmikan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Saiful Azizi Abdul Manap dan turut dihadiri Naib Presiden MAPIM, Mohd Dzohiri Abdul Samad.
Dalam majlis sama, graduan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Muhammad Aqil Danish Razlan, 24, diumumkan sebagai Tokoh Sukarelawan Ummah Negeri Perak 2025.
Muhammad Azmi berkata, fasa pertama Pelan Tindakan Aktivis Ummah Negeri Perak 2026 memberi tumpuan kepada penerangan arah tuju dan misi gerakan itu supaya dapat menjadi asas pemahaman sebelum sukarelawan dilatih mengikut kategori serta keupayaan masing-masing.
Katanya, dalam fasa kedua, MAPIM akan mendaftarkan sukarelawan secara formal di bawah struktur organisasi bagi memastikan latihan dan orientasi dapat diselaraskan dengan lebih teratur.
“Kita ada sukarelawan pelbagai latar belakang yang muda, mahasiswa, pelajar, golongan dewasa dan warga emas. Setiap kelompok ini ada kemampuan berbeza, jadi latihan mereka akan disesuaikan dengan kapasiti masing-masing.
"Sukarelawan muda, contohnya akan dilatih untuk misi bencana dan operasi mencabar manakala sukarelawan berusia akan diberi peranan lebih sesuai dengan tahap fizikal mereka," katanya.
Fasa ketiga pula kata beliau, memberi tumpuan kepada pembentukan identiti sukarelawan majmuk dengan penyertaan semua kaum sebagai satu pasukan.
“Kita mahu benar-benar menggambarkan imej sukarelawan pelbagai bangsa. Apabila sudah mantap, mereka akan diberikan sijil formal dan mula digerakkan dalam aktiviti masyarakat," katanya.
Ringkasan AI
- Perak menjadi model negeri pertama melahirkan 1,000 sukarelawan ummah menjelang 2026
- Pelaksanaan Pelan Tindakan Aktivis Ummah oleh MAPIM
- Sasaran melahirkan 1,000 sukarelawan di Perak dalam tahun pertama pelaksanaan
- Muhammad Aqil Danish Razlan diumum sebagai Tokoh Sukarelawan Ummah Negeri Perak 2025
- Fasa pelaksanaan termasuk pendaftaran sukarelawan, latihan berstruktur dan pembentukan identiti sukarelawan majmuk
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

