6,000 peserta gamatkan edisi kelima ‘International Songket Run’ MSU

SHAH ALAM - Penganjuran edisi kelima Larian Songket Antarabangsa 5.0 (ISR 5.0) Management Science and University (MSU) melalui Jabatan Pembangunan Pelajar dan Kerjaya (SCD) berjaya menarik penyertaan kira-kira 6,000 orang pada Sabtu.
Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, ia bertujuan memartabat dan meraikan budaya seni tenun songket menerusi kerjasama Jabatan Warisan Negara serta Jabatan Belia dan Sukan Selangor.
Bertemakan ‘Eminence of Songket’, menurut beliau, pelbagai kajian dan dokumentasi giat dijalankan ketika ini bagi mengetengahkan motif seni bunga telepuk, selaras inisiatif Kerajaan Selangor melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) untuk mewartakannya sebagai warisan tekstil rasmi negeri.
“Motif yang berasal daripada seni tekstil Istana Selangor dan kini diiktiraf sebagai simbol keanggunan warisan negeri itu memiliki nilai estetika, sejarah yang tinggi serta dilengkapi keindahan teknik.
“Seni tradisional berasaskan benang emas itu menjadi antara elemen penting dalam kebudayaan istana dan adat Melayu Selangor.
“Justeru, ISR 5.0 ini memperlihatkan bagaimana seni tradisi songket dapat diperkenalkan kepada generasi muda melalui pendekatan moden yang menarik di samping usaha ke arah membina masyarakat sihat, berbudaya dan harmoni,” katanya.

Acara larian dimulakan dengan kehadiran peserta seawal jam 5.30 pagi, diikuti ‘MSU Gema Subuh’, zumba dan pelepasan bagi kategori 10 kilometer (km) dari pekarangan kampus mengelilingi Seksyen 13, diakhiri dengan penyampaian hadiah serta sesi cabutan bertuah.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menyertai ‘fun run’ sehingga ke garisan penamat sebaik melancarkan sesi ‘flag off’ kategori lima kilometer (km).
Baginda juga berkenan mencemar duli menyinggah pameran hasil tenunan songket motif seni bunga telepuk yang dipaparkan pada ruang legar universiti melalui penglibatan Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraan (FISE), Padat serta Songket Republik.
Larian melibatkan pelbagai peringkat seperti Lelaki dan Wanita terbuka serta Lelaki dan Wanita Veteran manakala kategori khas lain adalah ‘The Youngest Participant’, ‘The Most Senior Participant’, ‘The Largest Group Participant’ juga ‘The Most Creative Attire in Songket’.
Turut menyertai larian ISR 5.0 ialah penghuni Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-Anak Tersisih Selangor (PAKATS), Rumah Anak Yatim Ulin Nuha, Rumah Kasih Harmoni dan Bunga Bunga Syurga ‘Down Syndrome’ Malaysia serta pelajar Sekolah Bina Insan Yayasan MSU.

Penganjuran ISR 5.0 berjaya mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG3: ‘Good Health and Well-Being’, SDG11: ‘Sustainable Cities and Communities’ serta SDG 17: ‘Partnership for the Goals’.
Acara ini pertama kali diadakan pada 2018 dan dianggap unik sehinggakan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘The Largest Participation In A Songket Running Event' 2019 dengan penyertaan seramai 4,868 peserta serta ‘The Largest Number of People Wearing or Having Songket Elements As Part of Their Dressing' pada 2018 melibatkan 4,878 peserta.
Ringkasan AI
- Larian Songket Antarabangsa 5.0 (ISR 5.0) diadakan di MSU menarik kira-kira 6,000 peserta
- Tujuan utama ialah memartabat dan meraikan budaya seni tenun songket melalui kerjasama dengan Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Belia dan Sukan Selangor
- Bertemakan 'Eminence of Songket' dan mengetengahkan motif seni bunga telepuk sebagai warisan tekstil rasmi negeri Selangor
- Tengku Permaisuri Selangor menyertai 'fun run' dan melancar sesi flag off kategori lima kilometer
- Acara ini mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk SDG3 'Good Health and Well-Being', SDG11 'Sustainable Cities and Communities', serta SDG 17 'Partnership for the Goals'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

