X

Kindly register in order to view this article
!

'Pasangan bercerai perlu kompromi jaga anak sepanjang PKP'

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Pasangan bercerai yang bergilir menjaga anak disaran agar berkompromi dan melihat kebajikan anak masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, setiap ibu bapa harus berbincang untuk mendapatkan penyelesaian terbaik bagi melaksana perintah mahkamah dengan mengambil kira kebajikan serta keselamatan anak-anak mereka.

Katanya, walaupun kesan PKP yang bermula pada 18 Mac hingga 14 April depan akan menyulitkan pelaksanaan perintah Mahkamah Syariah, semua pihak harus akur dan mengikut arahan kerajaan itu.

“Kita menyokong arahan kerajaan...ini adalah demi keselamatan dan kepentingan negara dalam membendung wabak Covid-19 yang semakin merebak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Na’im menjelaskan antara yang terkesan adalah perintah hak penjagaan anak-anak, contohnya dalam situasi hak penjagaan diberikan kepada ibu dan pada masa yang sama, bapa diberi akses hak lawatan serta bermalam pada Sabtu dan Ahad.

“Perintah yang dikeluarkan itu haruslah dipatuhi. Namun dalam keadaan PKP ini, bagaimana kedudukan anak itu. Kalau anak duduk bersama ibu dan akan berpindah ke rumah bapa pada Sabtu dan Ahad.

“Ia akan membahayakan keselamatan anak-anak malah si ibu atau bapa juga akan terdedah dengan wabak yang menular di negara kita ini,” katanya.

Beliau berkata dalam konteks PKP ini, ibu dan bapa perlu saling bekerjasama dan mengetepikan ego masing-masing dalam melaksanakan perintah mahkamah dan pada masa sama mengambil kira kepentingan anak-anak.

“Ibu bapa yang beriman perintah Allah di dalam al-Quran yang menyeru hamba-hambaNya bersulh yakni menyelesaikan sebarang pertikaian secara perbincangan secara damai hendaklah sentiasa diutamakan khususnya dalam keadaan kritikal sebegini,” katanya.

Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Bahagian VII, Hadhanah atau Jagaan Kanak-Kanak, Seksyen 81 menyatakan orang yang berhak menjaga kanak-kanak, tertakluk kepada Seksyen 82 adalah ibu yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus