UPKO taruhan etnik: Langkah oportunis Ewon sebelum PRN Sabah

Aidi Amin
Aidi Amin
A
A
A

KUALA LUMPUR – Keputusan mengejut UPKO meninggalkan Kerajaan Perpaduan mencetuskan gelombang baharu dalam politik Sabah, sekali gus menonjolkan percaturan berani Presidennya, Datuk Ewon Benedick untuk memanfaatkan pecahan etnik sebagai strategi utama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Tindakan itu dilihat sebagai 'maneuver' terancang bagi mengembalikan dominasi parti dalam kerusi-kerusi majoriti Kadazan-Dusun-Murut (KDM), kumpulan etnik yang menjadi asas kekuatan UPKO sejak ditubuhkan.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung PKR, Aidi Amin Yazid, langkah tersebut tidak boleh dipisahkan daripada realiti politik Sabah yang bergerak mengikut dinamikanya sendiri, dipacu pecahan etnik, pengaruh panglima politik dan kebangkitan majoriti senyap yang semakin kritikal dalam menentukan pola undi.

“Memahami senario politik Sabah memerlukan penelitian mendalam terhadap data pengundi, struktur sosial dan budaya politik masyarakatnya yang jauh berbeza daripada negeri di Semenanjung.

“Perubahan pola berfikir pengundi, pertumbuhan ideologi antara parti serta gerakan NGO yang mengangkat pelbagai isu kini menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi sentimen rakyat termasuk dalam kalangan pengundi yang tidak aktif berpolitik tetapi membentuk kelompok majoriti senyap,” katanya pada Podcast Kerusi Biru pada Jumaat.

Beliau turut mendedahkan lonjakan besar jumlah pengundi Sabah.

Pada PRN 2020, Sabah mempunyai 1.12 juta pengundi, meningkat kepada 1.68 juta pada PRN 2025.

Menjelang 31 Disember 2024, angka itu melonjak lagi kepada 1.75 juta dengan 707,146 daripadanya merupakan pengundi baharu.

Aidi berkata, situasi itu mewujudkan ruang terbuka kepada parti-parti tempatan melakukan percaturan agresif, khususnya dalam kawasan etnik dominan.

Artikel Berkaitan:

Sabah memiliki 73 kerusi DUN dengan etnik Kadazan-Dusun-Tusun menguasai 20 kerusi, diikuti Bajau (17), Cina (9), Bugis (7), Sungai (4), Rungus (3) dan Brunei (2).

“Ini realiti yang tidak boleh dipandang ringan. Sokongan etnik menjadi asas kepada strategi politik Sabah. Sebab itu saya kata, lebih masuk akal untuk parti tempatan memperjuangkan etnik yang menjadi tumpuan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, tindakan UPKO keluar kerajaan dilihat sebagai peluang terbaik untuk Ewon memposisikan parti sebagai suara dominan bagi masyarakat KDM, ketika parti itu berdepan penyusutan pengaruh dalam beberapa siri pilihan raya lalu.

“Langkah itu sebenarnya berbaur oportunis, bertujuan menarik perhatian pengundi baharu serta memberi nafas segar kepada naratif perjuangan UPKO yang semakin tenggelam di tengah persaingan parti-parti tempatan lain," jelasnya.

Aidi memberi peringatan bahawa strategi bersandarkan etnik semata-mata tidak lagi memadai kerana pengundi kini lebih celik maklumat, selain majoriti senyap memainkan peranan besar dalam mengubah keputusan pilihan raya.

“Politik Sabah sangat dinamik. Jika mana-mana parti tidak memahami sentimen masyarakat, gerak kerja NGO dan perubahan pemikiran pengundi, mereka boleh tersilap langkah,” tegasnya.

Beliau menambah, keputusan UPKO itu turut memaksa parti dalam Kerajaan Perpaduan menilai semula strategi bagi mengekalkan sokongan lintas etnik di 73 kerusi DUN yang bakal dipertandingkan.

"Dengan PRN semakin hampir, persoalan kini tertumpu sama ada langkah oportunis UPKO itu mampu memberi pulangan politik atau sekadar taruhan berisiko yang boleh membawa padah," ujarnya.

Ringkasan AI

  • UPKO meninggalkan Kerajaan Perpaduan mencetuskan gelombang baharu dalam politik Sabah
  • Tindakan UPKO bertujuan mengembalikan dominasi dalam kerusi majoriti Kadazan-Dusun-Murut
  • Perubahan strategi politik datang dengan peningkatan jumlah pengundi di Sabah kepada 1.75 juta menjelang 2025
  • Ewon Benedick memposisikan UPKO sebagai suara dominan masyarakat KDM di tengah persaingan politik
  • Strategi bersandarkan etnik sahaja tidak memadai dengan kecenderungan pengundi yang lebih celik maklumat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!