Anwar sambut baik peranan aktif Trump isu Thailand-Kemboja

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan peranan aktif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam membantu Thailand dan Kemboja mencapai penyelesaian berkekalan berkaitan isu sempadan kedua-dua negara.

Anwar berkata, beliau telah membincangkan perkembangan terkini isu sempadan antara dua negara berjiran itu bersama Trump hari ini menerusi panggilan telefon.

Beliau turut menzahirkan kesediaan Thailand dan Kemboja untuk terus memilih ruang dialog dan usaha diplomatik sebagai jalan penyelesaian yang ampuh.

"Saya menegaskan bahawa kedua-dua negara telah mengundurkan ketumbukan tentera dari sempadan, seiring dengan pendekatan yang telah disepakati di bawah kerangka Perjanjian Damai Kuala Lumpur.

"Lantaran itu, saya mengalu-alukan peranan aktif Presiden Trump yang telah turut menghubungi Perdana Menteri Kemboja dan Thailand demi memastikan apa jua perbezaan ditangani dengan tertib, demi menjamin kestabilan dan keharmonian serantau," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat. 

Media antarabangsa melaporkan pada Isnin, Panglima Angkatan Tentera Thailand mengumumkan penggantungan semua perjanjian dengan Kemboja berikutan letupan periuk api di sempadan sekali gus meningkatkan lagi ketegangan selepas pertempuran pada Julai.

Empat askar Thailand dilaporkan cedera selepas periuk api jenis PMN-2 meletup semasa rondaan di wilayah Sisaket dengan seorang kehilangan kaki kanan.

Perjanjian Damai Kuala Lumpur ditandatangani Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Hun Manet, disaksikan oleh Anwar dan Trump, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. - Bernama 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan peranan aktif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam membantu Thailand dan Kemboja mencapai penyelesaian berkekalan isu sempadan
  • Anwar dan Trump telah membincangkan perkembangan terkini isu sempadan Thailand dan Kemboja menerusi panggilan telefon
  • Kesediaan Thailand dan Kemboja untuk menggunakan dialog dan usaha diplomatik sebagai jalan penyelesaian
  • Thailand dan Kemboja telah mengundurkan ketumbukan tentera dari sempadan, seiring pendekatan Perjanjian Damai Kuala Lumpur
  • Perjanjian Damai Kuala Lumpur ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand dan Hun Manet disaksikan oleh Anwar dan Trump di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!