Thailand, Kemboja nyatakan komitmen teruskan usaha damai - Anwar

SHAH ALAM - Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul memberi maklum balas positif serta menegaskan komitmen untuk mencari penyelesaian damai antara kedua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen tersebut seterusnya untuk mematuhi perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
Beliau memaklumkan telah berbicara dengan Hun Manet dan Anutin menerusi telefon untuk membincangkan perkembangan usaha damai susulan insiden terkini di sempadan kedua-dua negara.
"Saya menegaskan pendirian Malaysia untuk melihat persahabatan dan gencatan senjata antara kedua-dua negara diperkukuh selaras persefahaman yang termeterai di Kuala Lumpur hujung bulan lepas.
"Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merintis jalan damai ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Dalam pada itu Anwar menjelaskan, kedua-dua perdana menteri turut menzahirkan penghargaan atas pendirian Malaysia serta peranan yang digalas selaku Pengerusi ASEAN serta sahabat dan jiran serantau yang mendambakan keamanan.
"Semoga kedua-dua negara terus menunjukkan kesungguhan dan keberanian untuk mengembalikan kestabilan di perbatasan demi keamanan yang berkekalan di rantau ini dan demi keselamatan rakyat kedua-dua negara," ujarnya.
Sebagai rekod, Hun Manet dan Anutin menandatangani perjanjian damai di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Oktober lalu, ldisaksikan Anwar dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Di bawah perjanjian damai itu, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menamatkan pertelingkahan dan membina hubungan kejiranan yang baik antara satu sama lain.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkomitmen mencari penyelesaian damai
- Komunikasi ini berlangsung melalui telefon yang dibincangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim
- Inisiatif ini adalah susulan daripada insiden di sempadan kedua-dua negara
- Malaysia berperanan sebagai pemudah cara dalam usaha mencapai keamanan
- Perjanjian Damai Kuala Lumpur telah disepakati oleh kedua negara untuk menamatkan perselisihan dan memperkuat hubungan baik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

