Amerika Syarikat boleh tolak visa kerana obesiti - Setiausaha Negara AS

Marco Rubio. Foto Agensi
Marco Rubio. Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON – Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio berkata, negara itu akan mula mempertimbangkan keadaan kesihatan kronik termasuk obesiti, penyakit jantung, kanser dan diabetes sebagai alasan untuk menolak permohonan visa ke Amerika Syarikat.

Menurut laporan The Washington Post, Rubio telah memaklumkan kepada semua konsulat dan kedutaan AS di seluruh dunia mengenai perubahan dasar tersebut.

Langkah ini memperluas penilaian perubatan sedia ada yang sebelum ini tertumpu kepada penyakit berjangkit, sekali gus memberi pegawai visa asas baharu untuk menolak permohonan dalam usaha pentadbiran Trump mengehadkan kemasukan migran.

“Pegawai mesti mengambil kira tahap kesihatan pemohon," menurut Jabatan Negara itu, yang turut dilaporkan oleh KFF Health News.

Laporan itu turut menyenaraikan obesiti sebagai faktor penilaian visa, dengan menyatakan bahawa ia boleh menyebabkan apnea tidur, tekanan darah tinggi dan kemurungan klinikal.

Jurucakap Rumah Putih, Anna Kelly berkata, dalam satu kenyataan bahawa dasar menolak pemohon yang berpotensi menjadi beban kewangan kepada pembayar cukai sudah wujud sejak 100 tahun lalu, dan pentadbiran Trump kini 'melaksanakannya sepenuhnya' bagi mengutamakan rakyat Amerika.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekitar 16 peratus orang dewasa di seluruh dunia diklasifikasikan sebagai obes pada 2022, manakala 14 peratus menghidap diabetes.

Arahan itu terpakai kepada pemegang visa sementara seperti H-1B, serta pemohon imigresen yang ingin tinggal secara tetap atas tujuan pekerjaan atau keluarga. Pemohon visa kemanusiaan tertentu — seperti pelarian — dikecualikan, walaupun banyak program tersebut telah dihentikan atau sedang ditamatkan oleh pentadbiran Trump.

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio berkata negara itu akan mempertimbangkan keadaan kesihatan kronik sebagai alasan untuk menolak permohonan visa
  • Rubio telah memaklumkan perubahan dasar ini kepada semua konsulat dan kedutaan AS di seluruh dunia
  • Langkah ini bertujuan untuk memberi pegawai visa asas baru untuk menolak permohonan dalam usaha mengehadkan kemasukan migran oleh pentadbiran Trump
  • Obesiti dianggap sebagai faktor penilaian visa kerana ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan
  • Dasar ini terpakai kepada pemegang visa sementara dan pemohon imigresen yang ingin tinggal secara tetap, tetapi pemohon visa kemanusiaan seperti pelarian dikecualikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!