Terowong dasar laut bukan terbengkalai, masih perhalusi isu teknikal - Kon Yeow

GEORGE TOWN - Kerajaan negeri tidak pernah menyifatkan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang sebagai projek terbengkalai, sebaliknya ia projek yang masih aktif dengan menjalankan kerja-kerja kajian.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah menerima pembentangan daripada syarikat berkaitaan projek itu pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Rabu lepas untuk melihat langkah menangani isu-isu berbangkit.
"Projek itu juga melibatkan pembesaran Pelabuhan Pulau Pinang (melibatkan jajaran projek) dan kalau dibina jambatan sebagai gantian, apakah ketinggian jambatan itu memandangkan Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth amat berdekatan.
"Ini semua isu-isu teknikal yang masih dalam peringkat untuk diperhalusi, lagipun mengikut perjanjian induk, kerja-kerja kajian ini belum habis lagi dan masih belum dapat meneruskan (projek) sehingga semua pihak puas hati dengan reka bentuk cadangan jajaran dan pengaturan kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Azmi Alang (PN-Telok Ayer Tawar) berhubung status Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.
Pada 21 Mei lepas, kerajaan negeri memaklumkan sedang mempertimbangkan cadangan perubahan reka bentuk yang baharu bagi projek Laluan Ketiga Pulau Pinang daripada terowong dasar laut kepada jambatan merentasi Selat Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata kajian kebolehlaksanaan telah dimuktamadkan pada 2023 merangkumi kebolehlaksanaan bagi reka bentuk yang baharu, iaitu jambatan ataupun reka bentuk alternatif.
Projek terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer menghubungkan Gurney Drive ke Bagan Ajam di tanah besar itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). - Bernama
Ringkasan AI
- Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang masih aktif dengan kerja-kerja kajian sedang berlangsung
- Kerajaan negeri menerima pembentangan mengenai projek itu untuk menangani isu berbangkit
- Projek itu melibatkan pembesaran Pelabuhan Pulau Pinang dan isu teknikal termasuk ketinggian jambatan sebagai alternatif
- Perjanjian induk menetapkan kerja-kerja kajian perlu selesai sebelum projek dapat diteruskan
- Kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan perubahan reka bentuk dari terowong dasar laut kepada jambatan merentasi Selat Pulau Pinang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
