Pulau Pinang negeri berdaulat seperti termaktub Perlembagaan Persekutuan - DAP

Steven Sim
Steven Sim
A
A
A

GEORGE TOWN - DAP Pulau Pinang berpendirian Perlembagaan Persekutuan secara jitu menetapkan Pulau Pinang dan Kedah ialah dua negeri yang berasingan dalam Persekutuan Malaysia.

Berikutan itu, Pengerusinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan Pulau Pinang daripada sebarang cubaan mempersoalkan kedudukan ini.

Beliau berkata, adalah lebih wajar sekiranya Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor menumpukan perhatian kepada usaha membangunkan negeri Kedah dan menjaga kebajikan rakyatnya, bukannya berpolitik tanpa henti.

"Pada masa yang sama, Pas Pulau Pinang dan rakan-rakan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada mereka akan mengkhianati Pulau Pinang dengan bersetuju dengan tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang?

"Rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar mereka," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Khamis.

Terdahulu, Pas Pulau Pinang menyambut baik kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang bersetuju agar isu tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang diselesaikan melalui proses undang-undang.

Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, langkah itu merupakan pendekatan terbaik bagi memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan fakta sejarah dan perundangan yang sahih.

Muhammad Fawwaz yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut berkata, Pas Pulau Pinang juga berharap agar proses ini dapat menyingkap kebenaran sejarah yang selama ini diputarbelitkan oleh pihak penjajah.

Katanya, kebenaran sejarah amat penting bagi memastikan hak dan kedudukan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia difahami dengan tepat oleh rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Pas Pulau Pinang menggesa agar DAP, yang sering melaungkan prinsip keluhuran dan kedaulatan undang-undang, berpegang teguh kepada prinsip tersebut dengan memberi ruang isu ini diselesaikan melalui saluran undang-undang, bukan melalui naratif politik yang boleh mencetuskan polemik serta kekeliruan dalam kalangan rakyat," tambahnya lagi.

 

Ringkasan AI

  • DAP Pulau Pinang mempertahankan kedaulatan Pulau Pinang dan Kedah sebagai negeri berasingan mengikut Perlembagaan Persekutuan
  • Steven Sim Chee Keong menasihati Menteri Besar Kedah untuk memberi tumpuan pada pembangunan negeri dan kebajikan rakyat
  • Pas Pulau Pinang dan Perikatan Nasional Pulau Pinang ditanya pendirian mereka terhadap tuntutan Kedah
  • Pas Pulau Pinang menyokong penyelesaian isu tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang melalui proses undang-undang
  • Pas Pulau Pinang merasakan pentingnya kebenaran sejarah dan menyeru penyelesaian isu melalui saluran undang-undang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!