Exco Kedah nafi penduduk Langkawi merana, pelancong cecah 2.9 juta

Mohd Salleh. Foto FB Dato Salleh Saidin
Mohd Salleh. Foto FB Dato Salleh Saidin
A
A
A

ALOR SETAR - Jumlah pelancong ke Pulau Langkawi meningkat setiap tahun selepas pandemik Covid-19 dengan merekodkan kira-kira 2.9 juta pengunjung pada tahun lalu, berbanding 2.8 juta pada 2023 dan 2.5 juta pada 2022.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, statistik dikeluarkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), sebuah agensi kerajaan Persekutuan yang bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Kedah itu membuktikan kedatangan pelancong sentiasa meningkat selepas pandemik.

Menurutnya, sehingga Ogos 2025, Langkawi merekodkan ketibaan 2.01 juta pelancong berbanding 1.96 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

"Bagi tempoh 1 hingga 16 September tahun ini, iaitu ketika musim cuti panjang Hari Malaysia, ketibaan melalui Terminal Feri Kuah meningkat 22.43 peratus, manakala Pelabuhan Langkawi mencatat lonjakan 27.86 peratus. Ketibaan penerbangan domestik pula naik 10 peratus, manakala penerbangan antarabangsa melonjak 23 peratus.

"Saya tidak tahu dari mana Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mendapat maklumat yang mendakwa penduduk Langkawi sekarang sedang merana kerana tidak ada orang yang datang ke Langkawi dan kerajaan negeri Kedah pula tidak berbuat apa-apa," katanya.

Jelas beliau, dakwaan itu tidak berasas, tidak boleh dipercayai dan dalam keadaan biasa, tidak akan dibuat oleh sesiapa sahaja yang sihat akal fikirannya.

Mohd Salleh turut mempertikai kenyataan dibuat Rayer seolah-olah menafikan dan memperlekehkan statistik serta kredibiliti LADA.

Beliau menambah, data daripada Majlis Perbandaran Langkawi pula menunjukkan jumlah jualan bilik penginapan bagi tempoh tiga bulan iaitu Jun, Julai dan Ogos 2025 adalah sebanyak 995,962 berbanding 678,327 pada tempoh yang sama tahun lalu di mana menunjukkan peningkatan 47 peratus.

"Kesemua data di atas cukup untuk menunjukkan bahawa kehadiran pelancong ke Pulau Langkawi bukannya menurun, tetapi meningkat. Jadi dari dunia manakah beliau mendapat maklumat itu? Dia sendiri telah berapa kali menjejakkan kaki ke Pulau Langkawi?

Artikel Berkaitan:

"Tidak kira apa juga agenda yang tersirat dalam fikiran beliau, yang pasti penggunaan ayat 'Yang merana di sana ialah penduduk Langkawi, budak-budak Langkawi tak ada kerja, tak ada orang datang ke Langkawi. Kerajaan Kedah tak ambil perhatian'...seperti yang dapat didengar jelas dalam klip video itu sesungguhnya amat tidak bertanggungjawab dan berniat jahat," tegasnya.

Mohd Salleh bagaimanapun berbesar hati mempelawa Rayer serta mana-mana pihak yang mempunyai gambaran buruk mengenai Pulau Langkawi supaya datang ke Kedah dan bertemu dengan beliau bagi mendapatkan penerangan lebih jelas.

"Kepada rakyat Kedah khususnya di Langkawi, bersama-samalah kita mempertahankan maruah Permata Kedah itu. Kita tidak perlu mereka-reka cerita, tidak perlu berbohong atau mengutip fakta tepi jalan seperti mereka, fakta dan data yang kita ada, yang terbukti sahih sudah cukup untuk dijadikan perisai.

"Pulau Langkawi hak kita, maruah kita, aset kita. Jangan biarkan orang lain memperlekeh sewenang-wenang," ujar beliau.

Sebelum ini, tular satu klip video pendek sedutan daripada perbahasan di Parlimen di mana Ahli Parlimen Jelutong itu mendakwa penduduk Langkawi kini sedang merana kerana tidak ada pengunjung sementara kerajaan negeri pula tidak berbuat apa-apa.

Ringkasan AI

  • Jumlah pelancong ke Pulau Langkawi meningkat setiap tahun selepas pandemik Covid-19
  • Statistik Lembaga Pembangunan Langkawi membuktikan peningkatan kedatangan pelancong
  • Ketibaan pelancong melalui Terminal Feri Kuah, Pelabuhan Langkawi, dan penerbangan domestik serta antarabangsa meningkat ketara pada September
  • Data Majlis Perbandaran Langkawi menunjukkan peningkatan jumlah jualan bilik penginapan sebanyak 47 peratus
  • Dakwaan Ahli Parlimen Jelutong tentang penduduk Langkawi merana dan tidak ada pelancong dikritik sebagai tidak berasas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!