Pendakwah Indonesia mohon maaf kontroversi cium budak perempuan

Gus Elham Foto Agensi
Gus Elham Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA – Pendakwah terkenal dari Kediri, Jawa Timur, Mohammad Elham Yahya Luqman atau Gus Elham, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas video beliau mencium kanak-kanak perempuan menjadi tular dan menimbulkan kemarahan orang ramai.

Tindakan itu menerima kritikan hebat, termasuk daripada Timbalan Menteri Agama, Romo Muhammad Syafi'i yang menyifatkan perbuatan pendakwah tersebut tidak sesuai, lebih-lebih lagi kerana beliau merupakan seorang tokoh agama.

"Kami sependapat dengan masyarakat bahawa tindakan ini tidak wajar!" tegas Romo Syafi'i memetik laporan Antara pada Selasa.

Beliau menambah, kementerian telah mengeluarkan panduan jelas untuk memastikan madrasah dan pesantren menjadi persekitaran mesra kanak-kanak, di mana hak pelajar dilindungi daripada sebarang bentuk keganasan.

Pengurusan Besar Nahdlatul Ulama (PBNU) juga mengecam tindakan Gus Elham, dengan menyatakan bahawa ia bertentangan dengan akhlak mulia dan prinsip dakwah Islam rahmatan lil 'alamin.

Pengerusi PBNU, Alissa Wahid menegaskan bahawa sebarang perbuatan yang merendahkan martabat kanak-kanak adalah pelanggaran serius terhadap nilai kemanusiaan dan merosakkan kredibiliti dakwah.

Gus Elham melalui akaun Instagram @fuadbakh, menyifatkan insiden itu sebagai kekhilafan peribadi dan menegaskan komitmennya untuk memperbaiki diri.

"Dengan penuh rendah hati, saya memohon maaf kepada seluruh masyarakat atas tersebarnya video yang menimbulkan kegaduhan.

"Saya mengakui ia adalah kesilapan peribadi dan bertekad menjadikan kejadian ini sebagai pengajaran agar tidak berulang," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menekankan bahawa kanak-kanak dalam video itu berada di bawah pengawasan ibu bapa dan mengikuti pengajian secara rutin. Video berkenaan adalah rakaman lama yang telah dipadamkan daripada semua media rasmi beliau.- Agensi

Ringkasan AI

  • Gus Elham, pendakwah dari Kediri, minta maaf kerana mencium kanak-kanak perempuan dalam video yang tular
  • Timbalan Menteri Agama, Romo Muhammad Syafi'i, kritik perbuatan Gus Elham sebagai tidak sesuai
  • Kementerian Agama telah mengeluarkan panduan untuk melindungi hak pelajar di madrasah dan pesantren
  • Pengurusan Besar Nahdlatul Ulama mengecam tindakan Gus Elham, menyatakan bertentangan dengan akhlak Islam
  • Gus Elham akui kesilapan dan berkomitmen untuk tidak mengulangi perbuatannya, menyatakan video itu adalah rakaman lama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!