Pelancong China dakwa hilang berat badan kerana makanan mahal di Singapura

Statistik menunjukkan Singapura menerima 12.8 juta pelancong asing dalam sembilan bulan pertama tahun ini. Foto Agensi
Statistik menunjukkan Singapura menerima 12.8 juta pelancong asing dalam sembilan bulan pertama tahun ini. Foto Agensi
A
A
A

SINGAPURA – Sejumlah pelancong China meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kos sara hidup yang tinggi di Singapura, sehingga ada yang mendakwa hanya mengambil satu hidangan sehari bagi menjimatkan perbelanjaan sepanjang kunjungan mereka.

Perbincangan hangat timbul di media sosial China seperti RedNote dan Weibo, apabila netizen berkongsi pengalaman mereka tentang harga barangan yang mahal di negara itu.

Secawan teh limau plastik dilaporkan berharga kira-kira S$0.82 (RM2.60), sebotol air S$3.07 (RM9.72), sandwic S$10.24 (RM32.44), manakala hidangan untuk dua orang di restoran makanan laut mencecah S$614 (RM1,947.38).

Seorang netizen di Weibo menulis bahawa dia kehilangan beberapa kilogram dalam tiga hari kerana hanya makan satu hidangan sehari, iaitu sarapan percuma di hotel, dan minum air hanya apabila kembali ke hotel.

Tambang teksi untuk perjalanan 10 minit pula dilaporkan boleh mencecah S$20.49 (RM64.91), jauh lebih tinggi berbanding tambang yang sama di negara mereka sendiri.

Pengasas Let’s Go Tour Singapore, Robin Loh menjelaskan bahawa perbezaan kos sara hidup yang lebih rendah di negara jiran membuatkan Singapura dilihat sebagai destinasi yang mahal.

Pakar Ekonomi United Overseas Bank (UOB), Jester Koh menambah bahawa kenaikan nilai dolar Singapura 6–7 peratus berbanding yuan sejak awal 2023 turut meningkatkan persepsi mahal bagi pelancong China.

Menurut Global Wealth & Lifestyle Report 2025, Singapura sekali lagi dinobatkan sebagai bandar paling mahal di dunia. Data daripada Numbeo menunjukkan purata perbelanjaan bulanan seorang individu di Singapura dianggarkan S$1,506 (RM,762 ).

Sesetengah netizen berkata, mereka lebih gemar melancong ke negara Asia lain seperti Malaysia dan Vietnam, yang menawarkan pengalaman lebih banyak dengan kos lebih berbaloi.

Artikel Berkaitan:

Namun, ada juga yang mempertahankan Singapura, memuji persekitarannya yang bersih, kadar jenayah rendah, undang-undang tegas, dan tahap peradaban tinggi.

Seorang netizen menulis, “Syurga ada harganya, tiada yang murah di dunia ini.”

Statistik menunjukkan Singapura menerima 12.8 juta pelancong asing dalam sembilan bulan pertama tahun ini, termasuk 2.5 juta dari China, membuktikan negara itu tetap menjadi destinasi popular meskipun kos hidup yang tinggi menjadi isu hangat.- Agensi

Ringkasan AI

  • Pelancong China menganggap kos sara hidup di Singapura tinggi
  • Beberapa netizen China berjimat cermat hingga hanya makan satu hidangan sehari
  • Harga barangan dan perkhidmatan di Singapura dilihat mahal seperti teh limau S$0.82 dan tambang teksi untuk perjalanan 10 minit S$20.49
  • Nilai Dolar Singapura meningkat berbanding yuan menyebabkan persepsi mahal bagi pelancong China meningkat
  • Sesetengah pelancong China lebih memilih destinasi lain yang lebih berbaloi seperti Malaysia dan Vietnam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!