Rakyat semakin bimbang kos sara hidup - Kajian

Berdasarkan kajian Institut Masa Depan Malaysia, tahap kebimbangan rakyat terhadap kos sara hidup meningkat kepada 53 peratus berbanding 48 peratus pada Disember tahun lalu. Gambar hiasan
Berdasarkan kajian Institut Masa Depan Malaysia, tahap kebimbangan rakyat terhadap kos sara hidup meningkat kepada 53 peratus berbanding 48 peratus pada Disember tahun lalu. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kos sara hidup merupakan isu yang paling membimbangkan rakyat, di mana tahap kebimbangan terhadap permasalahan tersebut meningkat kepada 53 peratus berbanding 48 peratus pada Disember tahun lalu.

Berdasarkan kajian Institut Masa Depan Malaysia yang melibatkan 1,605 responden berumur 18 tahun ke atas dari 14 Jun hingga 19 Julai tahun ini, hasil tinjauan juga mendapati hanya 40 peratus responden beranggapan bahawa negara sedang berada di landasan yang betul berbanding 54 peratus pada tempoh sama.

Selain itu, kajian turut menunjukkan bahawa sentimen responden terhadap prestasi ekonomi negara adalah negatif, dengan hanya 37 peratus berpuas hati terhadap pencapaiannya berbanding 57 peratus pada Disember tahun lepas.

“Dari segi pendapatan peribadi, 34 peratus responden menyatakan pendapatan mereka adalah baik berbanding 52 peratus pada Disember 2024.

“Mengenai cadangan rasionalisasi subsidi RON95, hanya 34 peratus responden menyokong pelaksanaannya, manakala 51 peratus pula tidak bersetuju.

“Antara sebab utama cadangan ini tidak mendapat sokongan responden ialah kerana ia akan menjejaskan taraf kehidupan (32 peratus), tidak yakin dengan keupayaan atau mekanisme pelaksanaan kerajaan (11 peratus), kurang penjelasan daripada pihak kerajaan (7 peratus), dan kerajaan dilihat terburu-buru untuk melaksanakannya (4 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dari segi prestasi kerajaan, Institut Masa Depan Malaysia memaklumkan bahawa hanya 41 peratus responden berpuas hati dengan Kerajaan Madani berbanding 56 peratus pada Disember tahun lalu.

Sementara itu, jelasnya, kajian turut mendapati bahawa tahap kepuasan hati responden terhadap prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menurun kepada 33 peratus berbanding 57 peratus pada tempoh sama.

Tambahnya, 41 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (15 peratus) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (16 peratus).

Artikel Berkaitan:

“Untuk calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), 33 peratus responden memilih Muhyiddin, Anwar (25 peratus), Ahmad Zahid (14 peratus), dan Hamzah (13 peratus).

“Sentimen negatif semasa responden terhadap prestasi ekonomi, politik dan pentadbiran negara sebahagian besarnya dipengaruhi oleh pelaksanaan beberapa dasar baharu kerajaan.

“Antaranya peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kenaikan tarif elektrik, rasionalisasi subsidi dan isu kos sara hidup yang dilihat masih membebankan rakyat,” ujar institut itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!