PRN Sabah: Anifah, Pandikar calon 'winnable’, calon muda untuk kekal seimbang

KOTA KINABALU - Pemilihan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang menampilkan gabungan muka baharu dan tokoh berpengalaman dianggap ‘winnable’, termasuk Tan Sri Anifah Aman dan Tan Sri Pandikar Amin Mulia mencerminkan strategi gabungan itu untuk mengekalkan keseimbangan antara pembaharuan dan kekuatan kepimpinan sedia ada.
Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohamed Razali Razi, yang turut tersenarai sebagai antara 35 peratus muka baharu calon GRS berkata, pemilihan itu menunjukkan komitmen gabungan berkenaan turut memberi peluang kepada generasi pelapis memainkan peranan dalam pentadbiran negeri.
"Ini menunjukkan GRS memberi ruang dan peluang kepada muka-muka baharu untuk menjadi pentadbir di kerajaan negeri Sabah.
"Kita memang menekankan penglibatan anak muda dan wajah-wajah baharu sebagai pemimpin negeri," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon GRS di Pusat Komvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Rabu.
Mengulas perbandingan dengan Barisan Nasional (BN) yang membawa lebih 80 peratus calon muka baharu dan orang muda, berbanding GRS sekitar 35 peratus, Razali menegaskan bahawa angka bukan ukuran utama.
"Bukan soal peratusan. Seseorang itu boleh sahaja menjadi calon muka baharu atau calon muda, tetapi akhirnya penilaian dibuat berdasarkan rekod khidmat mereka di kawasan masing-masing.
"Kami percaya calon GRS sudah lama berkhidmat dan memberi sumbangan di peringkat komuniti. Itu yang lebih penting, bukan jumlah muka baharu atau calon muda semata-mata, tetapi perkhidmatan mereka kepada rakyat,” katanya.
Mengenai keputusan GRS mengekalkan tokoh berpengalaman seperti Anifah dan Pandikar, Mohamed Razali berkata pemilihan itu dibuat berdasarkan keyakinan terhadap kebolehmenangan mereka.
"Itu semua calon yang berpotensi menang. Mereka melalui proses penilaian baharu dan kepimpinan yakin mereka boleh memenangi kerusi masing-masing," jelasnya.
Ditanya mengenai kemungkinan wujudnya sabotaj di kerusi yang tidak dikekalkan penyandang, termasuk perubahan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, beliau mengakui perkara itu tidak mustahil berlaku, namun GRS memilih untuk menumpukan perhatian kepada matlamat utama.
"Dalam politik, kita tidak boleh jangka, apa sahaja boleh berlaku. Tetapi setakat yang kami faham, jentera dan ahli kita berada di lapangan. Jadi fokus kami adalah untuk memenangi pilihan raya.
"Apa juga perbezaan pendapat yang mungkin wujud, kami tetap fokus pada matlamat. Perubahan itu sudah berlaku dan Tan Sri Pandikar kini menjadi calon di sana.
"Sudah tentu kita faham, kalau nama mereka tidak diumumkan, memang akan ada rasa sedih. Perasaan itu biasa berlaku sehari dua," katanya ketika ditanya mengenai situasi yang berlaku di DUN Pintasan.
Sementara itu, Mohamed Razali yang turut diumumkan sebagai calon bagi kerusi DUN Darau menyatakan keutamaannya adalah memperbaiki sistem pengurusan di peringkat kampung dan taman menerusi pembentukan sebuah majlis pengurusan kampung.
"Wawasan kami adalah membentuk satu majlis pengurusan kampung yang melibatkan kepimpinan kampung dan golongan belia. Ini kerana daripada pengalaman sebelum ini, masalah utama di kampung dan kawasan perumahan ialah kurangnya komunikasi.
"Dengan adanya majlis ini, kita dapat mengadakan libat urus antara kepimpinan kampung, belia dan badan bukan kerajaan (NGO) aktif supaya wujud ketelusan dalam pengurusan,” katanya yang juga seorang peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
