PRN Sabah: Calon GRS, Warisan tawar visi berbeza untuk DUN Lamag

KINABATANGAN – Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Johainizamshah Johari menawarkan kepimpinan yang lebih berintegriti sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
Johainizamshah yang juga bekas Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) kawasan Lamag berkata, beliau menyertai politik dan bertanding atas dua teras utama.
“Saya masuk politik berdasarkan dua aspek dan teras. Pertama, politik nilai dan kedua, politik perkhidmatan kerana saya yakin dan percaya rakyat di luar sana ternanti-nanti sosok yang ada nilai.
“Nilai dari segi integriti, kepimpinan dan cara bagaimana untuk menyelesaikan isu rakyat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas proses Penamaan Calon di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan pada Sabtu.
Menurutnya, rakyat perlu diberikan pilihan untuk memilih pemimpin yang mempunyai kualiti tersebut, dan beliau yakin mampu memenangi kerusi DUN Lamag.
Sementara itu, calon Parti Warisan (Warisan), Mohd Saifulah Lokman berkata, beliau menawarkan diri sebagai calon kerana ingin membantu masyarakat dan golongan muda di kawasan berkenaan, khususnya dari aspek pembangunan ekonomi dan pewujudan industri.
“Saya mengangkat suara anak-anak muda. Saya ingin membuat satu inovasi di Lamag ini.
“Di Lamag ini terlalu banyak anak muda tiada pekerjaan. Oleh itu, saya tampil dengan pengalaman yang saya ada untuk membawa pelabur masuk ke Lamag.
“Selain itu, saya ingin membawa anak muda dan sesiapa sahaja yang berminat dalam bidang keusahawanan untuk mewujudkan industri di setiap kampung, seperti industri pertanian,” katanya.
Menurutnya, sekiranya industri itu diwujudkan di setiap kampung, anak muda akan memiliki peluang pekerjaan dan tidak perlu keluar dari kawasan untuk mencari rezeki.
Saifulah, yang juga bekas pramugara dan kini mengusahakan restoran, yakin sekiranya diberi ruang dan peluang, beliau mampu menggalas tanggungjawab tersebut dengan baik.
Terdahulu, kedua-dua calon tersebut merupakan antara enam calon yang akan berentap di DUN Lamag dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 kali ini.
Ringkasan AI
- Calon GRS bagi DUN Lamag, Johainizamshah Johari menawarkan kepimpinan berintegriti
- Beliau menyertai politik atas dasar politik nilai dan politik perkhidmatan
- Calon Warisan, Mohd Saifulah Lokman berfokus pada pembangunan ekonomi dan pewujudan industri untuk golongan muda
- Saifulah ingin mewujudkan peluang pekerjaan melalui industri pertanian di setiap kampung
- Kedua-dua calon tersebut merupakan antara enam calon yang bertanding di DUN Lamag dalam PRN ke-17
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
