Semantan Estate gagal dapat kebenaran rayu, tanah Jalan Duta kekal milik Kerajaan

PUTRAJAYA – Syarikat Semantan Estate Sdn Bhd gagal mendapatkan kebenaran di Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis, untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pemindahan milik tanah seluas 106.542 hektar di Duta Enclave atau sebelum ini dikenali sebagai Jalan Duta kepada Kerajaan.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim memutuskan demikian ketika bersidang bersama Hakim, Datuk Hanipah Farikullah dan Hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Pada 7 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pelikuidasi Semantan Estate untuk mendapatkan semula tanah yang menempatkan beberapa kompleks bangunan kerajaan kepada syarikat berkenaan.
Hakim yang sama, memutuskan demikian selepas mahkamah membenarkan permohonan syarikat terbabit untuk menguatkuasakan perintah 2009.
Menerusi keputusan penghakimannya, beliau memerintahkan kerajaan melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan penghakiman berkenaan.
Beliau juga membenarkan pelikuidasi syarikat sebagai pemilik asal tanah dan kerajaan diarah membayar kos sebanyak RM50,000.
Mahkamah juga membenarkan permohonan syarikat selaku plaintif, agar kerajaan mendaftarkan pelikuidasi Ladang Semantan sebagai pemilik rasmi tanah dan bebas daripada bebanan.
Ia termasuk kertas kerja undang-undang yang diperlukan secara lengkap untuk memindahkan hak milik tanah, mengeluarkan hak milik tanah baru atas nama pelikuidasi dan mengembalikan pemilikan fizikal tanah kepada pemilik sah.
Keputusan itu sekali gus menyelesaikan pertikaian tanah sivil antara paling lama di Malaysia sejak merdeka iaitu selama hampir tujuh dekad.
Pada tahun 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan, mendakwa berlaku pencerobohan disebabkan pengambilan tanah secara haram daripada syarikat itu.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan berfaedahnya dalam tanah itu, yang telah diambil secara tidak sah oleh kerajaan.
Kerajaan kemudian memfailkan rayuan, namun ia ditolak pada 18 Mei 2012.
Kemudian pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan untuk mendapatkan kebenaran merayu, berhubung keputusan itu.
Enam tahun kemudian iaitu pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.
Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi 2009.
Kerajaan juga telah mencadangkan penyelesaian berhubung pertikaian tanah itu.
AKAN MENYUSUL
Ringkasan AI
- Syarikat Semantan Estate Sdn Bhd gagal mendapatkan kebenaran di Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan pemindahan milik tanah kepada Kerajaan
- Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan permohonan pelikuidasi Semantan Estate untuk mendapatkan kembali tanah yang menempatkan beberapa kompleks bangunan kerajaan
- Kerajaan diarah membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Semantan Estate
- Keputusan ini menyelesaikan pertikaian tanah sivil yang berlangsung selama hampir tujuh dekad di Malaysia
- Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan pada tahun 2003, mendakwa pengambilan tanah secara haram
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
