Jalan Duta kekal milik Kerajaan: Semantan Estate pertimbang fail semakan

Cyrus (tiga dari kiri) dan Chee Chuen (dua dari kanan) hadir ke Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Khamis.
Cyrus (tiga dari kiri) dan Chee Chuen (dua dari kanan) hadir ke Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA – Syarikat Semantan Estate (1952) Sdn Bhd akan mempertimbangkan untuk memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis, yang mengekalkan tanah seluas 106.542 hektar di Duta Enclave, yang sebelum ini dikenali sebagai Jalan Duta sebagai milik kerajaan.

Liquidator syarikat, Dr Jim Lai Chee Chuen berkata, 26 persoalan undang-undang yang dikemukakan syarikat tersebut amat penting dari segi perlembagaan dan sepatutnya didengar oleh mahkamah.

“Kami masih meneliti perkara ini dengan lebih lanjut kerana ia memberi kesan terhadap hak kami,” katanya yang hadir bersama peguamnya, Datuk Dr Cyrus Das, Ira Biswas dan Alexie Ng Ying Ching.

Semantan Estate diasaskan oleh Eng Lian Group dan Ng Chin Siu & Sons Rubber Estates Sdn Bhd, kini dalam proses pembubaran secara sukarela.

Pada Khamis, tanah berkenaan kekal menjadi milik kerajaan selepas Mahkamah Persekutuan di sini menolak permohonan terakhir syarikat itu untuk mendapatkan kebenaran merayu bagi menuntut semula kawasan tersebut.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, membuat keputusan itu ketika bersidang bersama Hakim, Datuk Hanipah Farikullah dan Hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Semantan Estate sebelum ini memfailkan saman terhadap kerajaan pada tahun 2003, mendakwa berlaku pencerobohan melalui pengambilan tanah secara tidak sah.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya memutuskan bahawa syarikat tersebut kekal mempunyai kepentingan berfaedah terhadap tanah berkenaan yang diambil secara tidak sah oleh kerajaan.

Kerajaan kemudian memfailkan rayuan, namun ia ditolak pada 18 Mei 2012, diikuti keputusan Mahkamah Persekutuan pada 21 November 2012 yang turut menolak permohonan kebenaran merayu.

Artikel Berkaitan:

Enam tahun kemudian, pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusannya.

Syarikat berkenaan turut memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 bagi menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi tahun 2009.

Kerajaan kemudiannya mencadangkan penyelesaian bagi menamatkan pertikaian tanah tersebut.

Pada 7 Ogos 2024, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, membenarkan permohonan pelikuidasi Semantan Estate untuk mendapatkan semula tanah yang menempatkan beberapa kompleks bangunan kerajaan.

Dalam keputusannya, beliau mengarahkan kerajaan memenuhi syarat yang ditetapkan dalam tempoh tiga bulan selepas penghakiman, serta membayar kos sebanyak RM50,000.

Mahkamah turut mengarahkan agar pelikuidasi Ladang Semantan didaftarkan sebagai pemilik rasmi tanah dan bebas daripada sebarang bebanan, termasuk melengkapkan dokumen undang-undang bagi memindahkan hak milik serta mengembalikan pegangan fizikal kepada pemilik sah.

Keputusan itu sekali gus menamatkan pertikaian tanah sivil antara paling lama di Malaysia sejak merdeka, yang berlarutan hampir tujuh dekad.

Pada 24 Jun lalu, Kerajaan berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Ahmad Shahrir supaya tanah itu diserahkan kepada Semantan Estate.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Lee Swee Seng (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memutuskan demikian ketika bersidang bersama Hakim, Datuk Azimah Omar dan Hakim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Panel memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang memerintahkan tanah itu diserahkan kepada Semantan Estate.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan Kerajaan membayar pampasan kepada syarikat berkenaan dalam tempoh 90 hari.

Swee Seng berkata, nilai pampasan akan ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi dengan bantuan pakar berdasarkan nilai pasaran pada tahun 1956 iaitu tarikh kerajaan memperoleh tanah itu.

Katanya, perbicaraan bagi keuntungan ‘mesne’ di Mahkamah Tinggi akan diteruskan dengan pengiraan keuntungan bermula 1956.

‘Mesne’ merujuk kepada keuntungan atau manfaat ekonomi yang diperoleh secara tidak sah oleh seseorang yang menduduki atau menggunakan tanah atau properti orang lain tanpa izin yang sah.

Ringkasan AI

  • Syarikat Semantan Estate (1952) Sdn Bhd pertimbangkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan milik tanah 106.542 hektar di Duta Enclave kepada kerajaan
  • Liquidator syarikat nyatakan 26 persoalan undang-undang yang penting sepatutnya didengar mahkamah
  • Pada 2003, Semantan Estate failkan saman terhadap kerajaan mengenai pengambilan tanah secara tidak sah
  • Pada 2009, syarikat itu kekal mempunyai kepentingan berfaedah terhadap tanah tersebut menurut keputusan Mahkamah Keputusan Mahkamah Persekutuan menamatkan pertikaian tanah sivil antara paling lama di Malaysia yang berlarutan hampir tujuh dekad

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!