Beri ganjaran petugas kesihatan pilih kawasan pedalaman

ISU kekosongan petugas kesihatan negeri Sarawak kini dilihat sebagai satu tanda amaran kepada sistem kesihatan awam negara apabila dilaporkan 259 pegawai perubatan dan 95 jururawat meletak jawatan semasa berkhidmat dalam fasiliti di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antara 2020 hingga 2024.
Fenomena ini berlaku dalam latar lebih besar di mana Sarawak sedang menghadapi kekurangan tenaga perubatan yang kritikal, termasuk keperluan mewujudkan sekitar 11,000 jawatan baharu bagi menyokong tujuh hospital utama negeri itu.
Antara cabaran utama ialah penempatan di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak kurang menarik dari segi akses sosial, logistik dan keselesaan menyebabkan ramai petugas memilih untuk berhenti atau enggan dilantik ke lokasi tersebut.
Fakta menunjukkan bahawa ketika jabatan kesihatan negeri berusaha mengisi jawatan, lebih daripada separuh pegawai perubatan yang dilantik gagal melapor diri.
Tenaga kerja sedia ada pula menghadapi beban kerja tinggi, keletihan dan tekanan psikologi yang meningkat.
Bagi meleraikan keadaan ini dan memastikan rakyat Sarawak tidak terus menjadi mangsa, beberapa langkah boleh diambil secara holistik antaranya sistem penempatan harus dipertimbangkan semula agar lebih fleksibel dan masuk akal untuk petugas yang ingin berkhidmat di kawasan pedalaman.
Ini termasuklah soal insentif kewangan dengan memberikan ganjaran nyata kepada mereka yang memilih ditempatkan jauh, kemudahan penginapan dan logistik memadai.
Selain itu, laluan kerjaya yang menjanjikan kestabilan seperti jaminan penukaran ke lokasi pilihan selepas tempoh tertentu perlu dipertimbangkan.
Penglibatan kerajaan negeri Sarawak dalam proses pengambilan dan pengurusan perlu diperkasakan, memberi autonomi yang lebih untuk negeri menangani realiti tempatan agar isu birokrasi dan keengganan penerimaan boleh dikurangkan.
Transformasi sistem ini bukan sekadar isu jumlah petugas semata-mata, tetapi juga daya tarikan, keselesaan dan sokongan yang bakal mempengaruhi keinginan seseorang untuk memilih atau kekal bertugas di Sarawak.
Jika kebimbangan ini tidak ditangani dengan segera dan efektif, risiko layanan kesihatan terhadap rakyat terutama mereka tinggal di kawasan pedalaman akan terjejas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
