KKM perhebat reformasi kekang penghijrahan petugas kesihatan

PUTRAJAYA - Malaysia terus diiktiraf sebagai antara negara sumber utama profesional kesihatan bertaraf dunia, namun kerajaan kini berdepan cabaran mengekalkan tenaga mahir itu dalam sistem kesihatan awam tempatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, situasi itu membuktikan keupayaan sistem latihan negara melahirkan bakat berkualiti tinggi, tetapi pada masa sama memberi tekanan kepada daya tahan sektor kesihatan awam dalam mengekang penghijrahan pakar ke luar negara.
“KKM mengambil maklum mengenai tindakan agensi pencarian bakat dari Singapura yang menganjurkan sesi temu duga terbuka bagi merekrut petugas kesihatan dari Malaysia.
“Dari sudut diplomatik, tindakan Singapura tidak melanggar mana-mana perjanjian ASEAN atau komitmen dua hala antara negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan kerajaan menghalang pengamal perubatan Malaysia daripada mencari pekerjaan di luar negara.
“Malah, kerajaan juga tidak mempunyai kuasa untuk menghalang agensi pencarian bakat daripada merekrut petugas kesihatan tempatan untuk berkhidmat di luar negara, asalkan agensi tersebut berdaftar secara sah dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” ujarnya.
Menurut Dr Dzulkefly, tanggungjawab sebenar terletak pada KKM untuk memastikan tenaga kerja kesihatan sedia ada kekal dalam perkhidmatan dan mengurangkan kadar penghijrahan ke luar negara.
“Pelbagai langkah reformasi sedang dilaksanakan, termasuk pindaan kepada Akta Perubatan 1971 (Akta 50) untuk mengiktiraf laluan kepakaran yang lebih luas seperti Laluan Selari (Parallel Pathway),” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga telah meluluskan kenaikan gaji sebanyak 13 peratus di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu yang berkuat kuasa tahun ini.
“Selain itu, laluan kerjaya yang lebih jelas dan tersusun turut diwujudkan, termasuk bagi pegawai kontrak, manakala sistem e-Penempatan (ePlacement) turut diperkasa bagi memastikan penempatan dan peningkatan kompetensi yang lebih telus,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kebergantungan kepada model Kontrak Perkhidmatan sedang dikurangkan secara berperingkat.
“Sebanyak 2,248 pegawai perubatan kontrak akan dilantik secara tetap pada Julai 2025, iaitu pengambilan terbesar sejak sistem kontrak diperkenalkan,” katanya.
Dr Dzulkefly turut memberi jaminan bahawa aspek persekitaran kerja turut diberi perhatian serius.
“Kita beri fokus terhadap isu keletihan melampau, gangguan di tempat kerja dan budaya toksik melalui garis panduan dalaman yang lebih ketat serta siasatan menyeluruh,” katanya.
Menurut beliau, reformasi organisasi dan libat urus langsung dengan kepimpinan fasiliti sedang dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran kerja yang adil, selamat dan menyokong.
“KKM juga komited untuk memberikan sokongan kukuh dan pengiktirafan bermakna kepada petugas kesihatan awam supaya mereka terus bermotivasi dan bersemangat tinggi,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa kementeriannya telah membiayai satu kajian bebas oleh Strategic Engagement Group (SEG) bertajuk The Future of Health Workforce in Malaysia.
“Laporan ini mencadangkan supaya satu Lembaga Tadbir Urus Sumber Manusia Kesihatan (HRH) antara kementerian diwujudkan, kerana isu ini perlu ditangani melalui pendekatan seluruh negara,” katanya.
Tegas beliau lagi, cabaran penghijrahan tenaga kerja kesihatan tidak seharusnya ditanggung oleh KKM sahaja.
“Penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama merentas agensi termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma),” jelasnya.
Beliau berkata, KKM kekal komited untuk membina sistem kesihatan yang kukuh dan berdaya tahan melalui pembaharuan pembiayaan kesihatan serta pemodenan penyampaian perkhidmatan melalui digitalisasi dan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan mengetengahkan isu mobiliti tenaga kerja kesihatan dan akauntabiliti serantau melalui kerjasama lebih erat bersama negara jiran,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


