Pensijilan halal bukan sekadar label

MALAYSIA sejak sekian lama mengangkat pensijilan halal sebagai antara aset terpenting negara, bukan sahaja daripada sudut agama tetapi juga ekonomi.
Di peringkat global, Malaysia dikenali sebagai peneraju standard halal antarabangsa dengan sistem pensijilan diiktiraf, berwibawa dan diurus secara profesional oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Majlis Agama Islam Negeri.
Pensijilan Halal Malaysia bukan sekadar logo pada bungkusan makanan atau premis perniagaan, tetapi melambangkan keyakinan umat Islam bahawa produk atau perkhidmatan itu suci, bersih, selamat dan selaras dengan syariat.
Justeru, setiap penggunaan istilah atau simbol berkaitan halal membawa implikasi besar terhadap kepercayaan pengguna dan reputasi negara.
Dalam era pasaran terbuka dan ekonomi halal global kini bernilai lebih AS$ 3 trilion (RM12.6 trilion) dan dijangka meningkat kepada AS$ 5 trilion (RM21 trilion) menjelang 2030, kepercayaan ini ‘mata wang sebenar’.
Malaysia misalnya telah berusaha membina reputasi sebagai hab halal dunia melalui pelbagai inisiatif termasuk Halal Development Corporation (HDC), Malaysia Halal Standard MS1500 serta kerjasama antarabangsa dengan pelbagai negara Islam dan bukan Islam.
Namun, kepercayaan yang dibina selama puluhan tahun itu boleh terhakis jika ada pihak yang mengambil jalan pintas atau memperkenalkan label alternatif yang boleh mengelirukan pengguna.
Kemunculan isu label ‘Muslim Choice’ oleh pertubuhan bukan kerajaan, Muslim Friendly Watch (MFW) baru-baru ini hangat diperkatakan apabila label itu didapati digunakan beberapa premis dan produk tanpa pengesahan rasmi daripada Jakim.
Walaupun niat asal MFW dikatakan mahu membantu pengguna Islam membuat pilihan produk bersih dan berkualiti, langkah memperkenalkan pengiktirafan sendiri di luar sistem pensijilan halal sedia ada telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, ulama dan pihak berkuasa agama.
Kekeliruan ini bukan sekadar soal istilah, tetapi boleh menjejaskan integriti sistem halal yang menjadi tunjang kepercayaan pengguna Islam.
Lebih membimbangkan, penggunaan label seakan-akan halal oleh pihak yang tidak berautoriti boleh membuka ruang manipulasi pasaran dan mengelirukan pengguna, terutama dalam sektor makanan, farmaseutikal dan kosmetik.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee bagaimanapun menegaskan bahawa hanya Jakim dan Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri diberi kuasa sah di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Menurut beliau, penggunaan apa-apa simbol, istilah atau logo yang membawa maksud halal oleh mana-mana pihak selain dua autoriti itu adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang.
Jakim turut mendedahkan pihaknya mengadakan pertemuan dengan MFW pada Ogos 2024 untuk memberi penjelasan dan nasihat agar aktiviti pelabelan Muslim Choice dihentikan.
Namun, selepas menerima aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, didapati pertubuhan itu masih meneruskan aktiviti tersebut sebelum akhirnya diarahkan menghentikan semua operasi.
Selepas tekanan dan teguran daripada pelbagai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, MFW akhirnya mengumumkan pembubaran rasmi pertubuhan itu di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).
Dalam kenyataannya, MFW mengakui kesilapan yang berlaku serta memohon maaf kepada pihak berkuasa agama dan seluruh rakyat Malaysia atas kekeliruan yang timbul.
Langkah itu diambil sebagai tanda ketaatan kepada pihak berkuasa agama serta keinsafan terhadap keperluan menjaga kemaslahatan ummah dan nama baik Islam di negara ini.
Pembubaran ini menandakan berakhirnya satu episod yang mencabar ketegasan penguatkuasaan halal di Malaysia namun dalam masa yang sama, ia membuka perbincangan baharu mengenai keperluan memperkukuh kesedaran dan pengawasan terhadap penyalahgunaan istilah halal.
*Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

