PRN Sabah: Warisan sindir parti lawan ada 'kelebihan'

KOTA KINABALU - Pemimpin utama Parti Warisan (Warisan) menyindir parti-parti lain yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan mendakwa mereka mempunyai 'kelebihan' dalam kempen politik kerana memiliki video-video kontroversi yang dikaitkan skandal rasuah dan video moral pemimpin koalisi sendiri.
Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking turut berseloroh mengatakan parti itu kini tidak mempunyai kelebihan berbanding parti-parti yang terpalit skandal video, lebih-lebih lagi Warisan menampilkan 50 peratus calon muka baharu.
Jelasnya, Warisan juga mengambil pendekatan berani dengan tidak bergantung terlalu ramai pemimpin veteran bertaraf 'warlord' apabila beliau sendiri pun membuat keputusan penting dengan tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog.
"Saya tidak bertanding atas keputusan sendiri. Saya dilantik jadi Pengarah Pilihan Raya PRN Sabah dan saya pun sudah lama jadi wakil rakyat selama 13 tahun. Kita beri peluang kepada muka baharu yang lebih bertenaga dan mempunyai aspirasi politik lebih besar.
"Cuma kekurangan kami sebab tiada pemimpin yang ada 'video (terpalit skandal rasuah dan seks)'. Itu pun satu 'kelebihan' kepada parti lain sebab mereka senang hendak tonjolkan calon-calon mereka kepada rakyat. Mereka lebih mudah dikenali rakyat Sabah sebab 'video'," kata Leiking kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Leiking dalam nada berseloroh turut mengakui Warisan mungkin perlu mempertimbangkan pendekatan serupa agar calon parti itu dapat lebih dikenali menjelang pilihan raya.

"Nanti kami pun mesti buat satu video juga supaya senang dikenali, tak payah kempen panjang-panjang.
"Senang nak promote (promosi)... video saja, terus orang kenal," ujar beliau sambil tertawa.
Mengulas barisan calon-calon pilihan raya ditampilkan Warisan kali ini, Leiking menegaskan parti itu tampil dengan 50 peratus muka baharu dan 30 peratus calon berumur bawah 40 tahun, mencerminkan komitmen Warisan untuk memberi ruang kepada generasi muda dan suara pelbagai lapisan masyarakat.
“Kita ada setiap strata... wanita ada, golongan muda ada, warga emas pun ada. Itu lebih penting bagi saya,” ujarnya.
Dalam masa sama, Leiking menyindir beberapa parti lain yang masih mempertaruhkan wajah lama, malah segelintirnya terdiri daripada 'katak politik' yang sering melompat parti.
“Kalau tengok parti lain, mereka masih pertaruhkan orang sama, orang lama, ada yang asyik lompat parti. Itu saya tak mahu komenlah,” jelasnya.
Tambah Leiking, meskipun parti lain memiliki kelebihan dari segi populariti dan kempen visual, Warisan yakin kekuatan sebenar parti itu terletak pada kesegaran calon, dasar perjuangan dan kepercayaan akar umbi.
Sebelum ini, Warisan menggugurkan nama Leiking daripada senarai 73 calon bagi menghadapi PRN Sabah pada 29 November ini.
Parti itu sebaliknya menampilkan naib presidennya, Terrence Siambun sebagai calon di kerusi berkenaan.
Leiking ialah bekas Ahli Parlimen Penampang dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari 2018 hingga 2020.
Selain itu, Warisan turut menampilkan gabungan calon baharu dan lama dengan anak Ketua Menteri Pertama Sabah, Tun Muhammad Fuad Stephens serta adik Mohd Shafie sendiri.
Ringkasan AI
- Pemimpin Warisan menyindir parti lain memiliki 'kelebihan' kerana video kontroversi untuk kempen PRN Sabah
- Warisan berani dengan 50 peratus calon muka baharu dan tidak terlalu bergantung pada pemimpin veteran
- Darell Leiking, Timbalan Presiden Warisan, tidak bertanding dan menjadi Pengarah Pilihan Raya PRN Sabah
- Parti berkomitmen pada generasi muda dengan 30 peratus calon di bawah umur 40 tahun
- Warisan percaya kekuatan parti pada kesegaran calon dan kepercayaan akar umbi walaupun kurang popular dari segi visual
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

