Hakisan pantai makin teruk, risau tanah didiami lebih 40 tahun 'lenyap'

PONTIAN - Penduduk di kawasan pesisir Pantai Rimba Terjun di sini resah memikirkan keselamatan kediaman mereka yang semakin terancam akibat hakisan pantai terutama ketika air pasang besar melanda.
Penduduk, Khairul Azman A Rahman, 47, berkata, sejak lebih lima tahun lalu, dia hanya mampu melihat keadaan tanah di sekitar rumahnya semakin mengecil apabila ombak kuat dan air berlumpur terus menghakis tebing pantai.
Dakwanya, hakisan tersebut semakin menghampiri kawasan rumahnya yang kini berjarak kira-kira 50 meter dari pantai dan tanah berkeluasan kira-kira 0.4 hektar hilang sedikit demi sedikit akibat ombak.
"Lima tahun lalu, ada pokok bakau yang berfungsi sebagai penampan ombak sekali gus membantu mengurangkan hakisan pantai.
"Namun kini, segalanya berubah kawasan jadi lapang, tiada pokok. Saya tidak berdaya halang hakisan pada setiap tahun terutama ketika air pasang besar pada penghujung tahun," katanya yang tinggal di Lorong Sayong, Kampung Rimba Terjun.

Khairul Azman meminta pihak berwajib agar membina benteng pemecah ombak atau penahan hakisan pantai bagi menyelamatkan tanah pusaka yang sudah didiami sejak 40 tahun lalu.
Penduduk, Mohd Aidil Ab Jalil berkata, masih terdapat kawasan yang belum mempunyai benteng meskipun pesisir pantai Rimba Terjun berdepan hakisan teruk sejak lima tahun lalu.
"Benteng yang dibina 14 tahun lalu di belakang rumah di Lorong Kubur menyelamatkan lima rumah daripada ombak besar dan ribut setiap tahun.
"Bagaimanapun, penduduk masih berasa bimbang setiap kali musim air pasang besar tiba kerana ombak tinggi tetap melimpah ke kawasan luar rumah," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, dua pertiga kawasan pantai iaitu sepanjang 66 kilometer di daerah Pontian terletak di dalam Parlimen Tanjung Piai.

Jelas beliau, walaupun beberapa struktur pertahanan ombak telah dibina di sepanjang pantai berkenaan, tidak semua kawasan dilindungi memandangkan banyak lagi lokasi lain turut berdepan ancaman sama.
“Saya pernah membangkitkan perkara ini dalam kamar khas Parlimen pada sesi lalu. Berdasarkan lawatan saya sendiri ke kawasan terjejas, keadaan di lapangan jauh lebih teruk," katanya.
Menurut beliau, kementerian perlu menyalurkan peruntukan segera bagi melaksanakan projek perlindungan pantai secara berperingkat selain lawatan segera diadakan bersama pihak kementerian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta wakil penduduk bagi menilai tahap ancaman hakisan secara menyeluruh.
Ringkasan AI
- Penduduk Pantai Rimba Terjun resah keselamatan kediaman terancam akibat hakisan pantai
- Khairul Azman melihat tanah di sekitar rumahnya semakin mengecil akibat hakisan ombak selama lima tahun
- Tanah berkeluasan kira-kira 0.4 hektar hilang sedikit demi sedikit dan kini jarak rumah ke pantai hanya 50 meter
- Penduduk meminta pembinaan benteng pemecah ombak untuk melindungi tanah pusaka
- Walaupun beberapa struktur pertahanan ombak telah dibina, tidak semua kawasan dilindungi dan banyak lokasi lain berdepan ancaman hakisan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

