Anak sedia kongsi penulisan ibu berusia lebih 70 tahun

KOTA BHARU - Anak kepada Allahyarham Prof Dr Jawahir Ali, penulis artikel The world we want sedia berkongsi penulisan ibunya yang berusia lebih 70 tahun itu kepada mana-mana pihak atau individu yang mahu menjadikannya sebagai rujukan atau pameran.
Jamal Ali Affendy Yusob, 49, berkata, artikel itu ditemui kembali minggu lalu selepas 30 tahun berada dalam simpanannya.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, beliau berusaha mencari semula artikel berkenaan selepas tular ibunya ditemuramah seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) kerana memenangi pertandingan menulis esei anjuran British pada tahun 1955.
"Bagaimanapun, arwah ibu menunjukkan artikel 1,529 patah perkataan dengan 19 perenggan yang difotostat itu selepas diterbitkan dalam The Friend iaitu majalah rasmi Sekolah Menengah Zainab," katanya kepada Sinar Harian.
Jelas beliau lagi, penulisan ibunya pernah menjadi rujukannya ketika menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis.
Berkongsi mengenai artikel itu, Jamal Ali Affendy dapat menggambarkan arwah ibunya seorang yang hebat kerana tulisan dan pemikiran dalam bahasa Inggeris yang dihasilkannya sangat tinggi.

"Ketika itu umurnya baharu sahaja 16 tahun yang mana ibu bapanya hanya fasih berbahasa arab namun ibu saya boleh menulis dengan baik dan perkataan yang tersusun.
"Pada tahun itu juga sukar untuk kita ceritakan mengenai plagiat atau 'tiru' kerana belum wujud internet atau sumber yang boleh dijadikan rujukan," katanya.
Katanya lagi, sebagai anak beliau bangga kerana ibunya seorang individu yang bijak dan berfikiran matang.
"Ketika tular mengenai kisah ibu, beberapa anak kepada rakan ibu menghubungi saya dan memaklumkan kisah mereka di dalam kelas bersama guru British.
Kongsinya lagi, ada rakan arwah yang memberitahu, guru meminta ibunya bersama seorang rakan, Yeap Gim Hong duduk di satu sudut dalam kelas dan tidak membenarkan mereka menjawab soalan kerana sebelum ini semua yang disoal dapat dijawab dengan tepat.
"Rakan ibu kini menetap di Pulau Pinang dan beliau juga tidak menyangka dapat berkongsi cerita bersama kami," katanya lagi.
Jamal Ali Affendy juga memberitahu, antara yang menghubunginya ialah peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang berkongsi mengenai persahabatan ibu mereka.
"Selain berada dalam kelas sama, ibu Nik Elin selalu mengayuh basikal ke rumah arwah ibu saya dan mereka selalu bersama pada masa itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
