Seleweng RM1.5juta: Bekas penolong pengurus besar dipenjara satu tahun

Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara satu tahun terhadap bekas penolong pengurus besar syarikat telekomunikasi atas kesalahan menyeleweng lebih RM1.5 juta harta syarikat. - Gambar hiasan
Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara satu tahun terhadap bekas penolong pengurus besar syarikat telekomunikasi atas kesalahan menyeleweng lebih RM1.5 juta harta syarikat. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara satu tahun terhadap seorang bekas penolong pengurus besar sebuah syarikat telekomunikasi, kerana menyeleweng harta syarikat bernilai lebih RM1.5 juta.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azman Abdullah dan bersama Hakim Datuk Azmi Ariffin serta Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, menjatuhkan hukuman tersebut selepas membenarkan sebahagian rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Shamsul Bahri Musa daripada pertuduhan itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Azman memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa lelaki itu melakukan kesalahan menyeleweng harta syarikat dan bukannya pengkhianatan amanah jenayah (CBT).

Mahkamah itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang melepas dan membebaskan Shamsul Bahri daripada empat pertuduhan CBT dan sebaliknya menjatuhkan sabitan di bawah pertuduhan penyelewengan harta.

Hakim Azman menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama, lapan bulan bagi pertuduhan kedua, 12 bulan bagi pertuduhan ketiga dan sembilan bulan bagi pertuduhan keempat, yang semuanya akan dijalankan serentak bermula hari ini.

Ini bermakna Shamsul Bahri, 56, akan dipenjara satu tahun dan lelaki itu tidak dikenakan hukuman sebatan kerana telah berusia lebih 50 tahun.

Shamsul Bahri yang pada ketika itu penolong pengurus besar operasi kewangan, didapati telah menyeleweng RM53,124.25 milik Telekom Sales & Services Sdn Bhd pada 28 Dis 2007.

Beliau juga disabitkan bagi pertuduhan kedua iaitu menyeleweng RM254,992.62; pertuduhan ketiga (RM1,040,119.38) dan pertuduhan keempat (RM176,901.25).

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Menara Mutiara Bangsar, Jalan Liku, Off Jalan Riong, Kuala Lumpur, antara Januari 2007 dan September 2010.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen telah mensabitkan Shamsul Bahri atas pertuduhan CBT dan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun. Mahkamah Tinggi kemudiannya melepas dan membebaskannya daripada semua pertuduhan pada Mac tahun lepas, mendorong pihak pendakwaan untuk membuat rayuan.

Shamsul Bahri diwakili peguam Datuk Hasnal Rezua Merican, manakala Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob mewakili pendakwaan. - Bernama

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Bekas penolong pengurus besar syarikat telekomunikasi dijatuhi hukuman satu tahun penjara kerana menyeleweng harta syarikat lebih RM1.5 juta
  • Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Shamsul Bahri Musa
  • Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan menyeleweng harta syarikat, bukan pengkhianatan amanah jenayah
  • Hukuman penjara dikenakan adalah enam bulan untuk pertuduhan pertama, lapan bulan untuk kedua, 12 bulan untuk ketiga, dan sembilan bulan untuk keempat, dijalankan serentak
  • Shamsul Bahri, 56, tidak dikenakan hukuman sebat kerana berusia lebih 50 tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!