Presma kaji perkhidmatan moden guna AI, kod QR

Mohamed Mohsin (belakang, tujuh dari kanan) bersama pimpinan Presma pada majlis berkenaan.
Mohamed Mohsin (belakang, tujuh dari kanan) bersama pimpinan Presma pada majlis berkenaan.
A
A
A

PERSATUAN Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) kini sedang mengkaji pelaksanaan sistem moden yang mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kod QR dalam sektor perkhidmatan di kesemua restoran rangkaiannya di seluruh negara.

Presidennya, Datuk Mohamed Mohsin Abdul Razak berkata, inisiatif tersebut antara usaha jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

Malah menurutnya, usaha berkenaan dilihat seiring dengan seruan kerajaan agar industri makanan tempatan menambah baik sistem perkhidmatan sedia ada.

“Kami sedang berbincang dengan beberapa syarikat teknologi yang mampu menyediakan sistem menyeluruh, daripada pembukaan premis hingga pengurusan operasi harian restoran.

"Ada syarikat yang menawarkan sistem lengkap dari A hingga Z, termasuk fungsi pesanan digital dan pembayaran automatik, namun kosnya agak tinggi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rahmah Mesra Bersama Presiden Presma di Johor Bahru pada Selasa.

Tambah Mohamed Mohsin, walaupun beberapa restoran sudah mula menggunakan sistem QR bagi pesanan makanan, penerimaan pelanggan tempatan masih perlahan kerana kebanyakan mereka lebih selesa dengan kaedah manual.

“Rakyat kita masih gemar dilayan secara bersemuka. Tapi kita sedang cuba ubah budaya ini supaya sektor makanan kita lebih efisien dan moden.

"Tetapi dalam masa sama, kita turut memohon kerajaan memudahkan semula sistem gantian pekerja asing yang dibekukan sejak 2019, bagi mengelakkan kekurangan tenaga kerja menjejaskan kelancaran perkhidmatan restoran.

“Kami bukan tak mahu ambil pekerja tempatan, tapi minat untuk bekerja dalam sektor restoran memang sangat rendah, jadi sementara menunggu sistem automasi dan digitalisasi dilaksanakan, kami perlukan pekerja yang mencukupi untuk terus beroperasi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamed Mohsin berkata, Presma kini turut menilai model pelaksanaan yang sesuai berikutan kebanyakan pengusaha sedia ada memerlukan masa antara lima hingga 10 tahun untuk beralih ke sistem baharu tanpa menjejaskan operasi harian.

“Kita mahu beralih kepada sistem moden seperti pesanan melalui kod QR dan penggunaan AI bagi membantu proses perkhidmatan, tetapi ia perlukan masa dan kos yang besar.

"Sebab itu kita mohon kerajaan memudah cara kelulusan pengambilan pekerja asing buat sementara waktu agar sektor ini dapat beralih secara berperingkat,” katanya.

Untuk rekod, Presma kini mempunyai lebih 3,000 ahli berdaftar dengan anggaran lebih 12,000 restoran di seluruh negara.

Ringkasan AI

  • Presma sedang mengkaji pelaksanaan sistem moden menggunakan AI dan kod QR untuk restorannya
  • Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing
  • Beberapa restoran sudah mula menggunakan sistem QR tetapi penerimaan pelanggan masih perlahan
  • Presma memohon kerajaan memudahkan sistem gantian pekerja asing sementara menunggu automasi penuh
  • Presma menilai model pelaksanaan yang sesuai memerlukan masa 5 hingga 10 tahun untuk beralih sistem baru

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!