Penyasaran subsidi tepung, gula tidak dorong kenaikan harga makanan – Presma

Mohamed Mohsin
Mohamed Mohsin
A
A
A

JOHOR BAHRU – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menegaskan pihaknya tidak akan menaikkan harga makanan secara serta-merta susulan langkah kerajaan menstruktur semula subsidi barangan asas seperti tepung dan gula.

Presidennya, Datuk Mohamed Mohsin Abdul Razak berkata, walaupun penyasaran subsidi itu dijangka memberi kesan kepada kos bahan mentah, pengusaha restoran masih berusaha mengekalkan harga sedia ada demi kepentingan pelanggan golongan B40 dan M40 yang menjadi pelanggan utama restoran mamak.

“Kita kena fikir begini; disebabkan subsidi, tidak semestinya kita terus naik harga kerana masalah sekarang, semua barang lain pun sedang naik (harga). Itu yang membebankan pengusaha.

“Contohnya, gas LPG yang dulu kita boleh beli tiga tong, sekarang dah ada had dan harga pun naik dari RM30 boleh jadi RM70 hingga RM80. Itu perbezaan yang sangat tinggi dan bila jadi macam itu, kita minta kerajaan beri sedikit pertimbangan.

“Kita tidak akan naik harga semata-mata sebab subsidi. Tetapi bila semua kos naik, kita perlu fikirkan gaji, KWSP, sewa, bahan mentah dan sebagainya.

"Jika kenaikan tersebut kecil, kita masih boleh tanggung, tapi kalau berlarutan setiap bulan, untung kita makin susut dan akhirnya tidak dapat bertahan," katanya kepada pemberita sempena Majlis Rahmah Mesra Bersama Presiden Presma di sini pada Selasa.

Mohamed Mohsin berkata, restoran mamak sebenarnya banyak membantu rakyat berpendapatan rendah kerana harga makanannya masih dalam kadar berpatutan berbanding tempat lain yang sebenarnya lebih mahal.

"Kita tidak menuntut bantuan kewangan secara langsung daripada kerajaan, kita bukan minta duit tapi harap kerajaan dapat mengawal harga barangan asas dan memberikan sokongan kepada sektor makanan yang banyak menampung pelanggan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Kalau kerajaan boleh bantu (dari segi kawalan harga dan bekalan bahan asas), kita pun boleh terus kekalkan harga semampu mungkin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Presma tidak akan menaikkan harga makanan secara serta-merta susulan penstrukturan semula subsidi barangan asas
  • Presiden Presma, Datuk Mohamed Mohsin Abdul Razak menyatakan usaha mengekalkan harga demi golongan B40 dan M40
  • Restoran mamak berusaha menampung keperluan pelanggan berpendapatan rendah dengan mengekalkan harga makanan berpatutan
  • Presma berharap kerajaan dapat mengawal harga barangan asas dan memberikan sokongan kepada sektor makanan
  • Mohamed Mohsin menyatakan restoran mamak tidak menuntut bantuan kewangan tetapi sokongan dalam kawalan harga dan bekalan barang asas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!