Kemarau terburuk landa Iran

Paras air di Empangan Amir Kabir di Sungai Karaj, Iran dilihat surut susulan hujan lebat berkurangan dan bermulanya musim panas. Foto AFP
Paras air di Empangan Amir Kabir di Sungai Karaj, Iran dilihat surut susulan hujan lebat berkurangan dan bermulanya musim panas. Foto AFP
A
A
A

TEHERAN - Iran kini berdepan kemarau terburuk dalam tempoh beberapa dekad apabila paras air di empangan utama yang membekalkan air ke bandar Mashhad jatuh di bawah tiga peratus, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan catuan air di seluruh negara.

Ketua Eksekutif Syarikat Air Mashhad, Hossein Esmaeilian berkata, simpanan air di empangan bandar itu kini berada pada tahap paling kritikal dalam sejarah.

“Paras air di empangan Mashhad kini kurang daripada tiga peratus. Situasi ini menunjukkan pengurusan penggunaan air bukan lagi sekadar nasihat tetapi ia kini satu keperluan,” katanya kepada agensi berita ISNA.

Mashhad, bandar kedua terbesar di Iran dan kota paling suci dengan populasi sekitar empat juta orang, bergantung kepada empat empangan utama bagi bekalan air harian.

Menurut Esmaeilian, kadar penggunaan air di bandar itu mencecah 8,000 liter sesaat, namun hanya antara 1,000 hingga 1,500 liter sesaat dapat dibekalkan daripada empangan.

Beliau turut memberi amaran bahawa pengguna dengan kadar penggunaan tertinggi mungkin akan menjadi kumpulan pertama yang menghadapi pemotongan bekalan sekiranya keadaan tidak berubah.

Di Teheran, pihak berkuasa turut memberi amaran tentang kemungkinan gangguan bekalan air secara berkala selepas lima empangan utama di ibu negara dilaporkan berada pada paras 'kritikal'.

Salah satu empangan dilaporkan sudah kering sepenuhnya, manakala satu lagi berada di bawah lapan peratus kapasiti simpanan.

Menteri Tenaga Iran, Abbas Ali Abadi berkata, kerajaan merancang untuk melaksanakan catuan air secara berperingkat bagi mengurangkan pembaziran dan memastikan bekalan kekal stabil.

Artikel Berkaitan:

“Langkah ini mungkin menyusahkan, tetapi ia penting untuk mengelakkan pembaziran dan memastikan bekalan air tidak terus merosot,” katanya menerusi siaran televisyen rasmi.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pula memberi amaran bahawa sekiranya tiada hujan turun sebelum musim sejuk, Teheran berpotensi berdepan pemindahan besar-besaran.

Namun beliau tidak memperincikan bagaimana operasi sebesar itu akan dilaksanakan sekiranya keadaan bertambah buruk.

Teheran yang terletak di lereng selatan Pergunungan Alborz lazimnya menerima hujan pada musim luruh dan salji pada musim sejuk, namun tahun ini jumlah hujan dilaporkan paling rendah dalam tempoh 100 tahun.

Media tempatan melaporkan separuh daripada wilayah di Iran tidak menerima sebarang hujan sejak beberapa bulan lalu, menyebabkan tanah retak dan sumber air bawah tanah kering.

Empangan Amir Kabir di Sungai Karaj antara salah satu daripada lima empangan utama Teheran yang kini hampir kering dengan baki simpanan hanya 14 juta meter padu berbanding 86 juta meter padu pada tahun lalu.

Menurut Ketua Pengarah Syarikat Air Teheran, Behzad Parsa jumlah itu hanya mampu menampung keperluan air di kawasan Teheran selama kurang daripada dua minggu.

Imej satelit yang disiarkan stesen televisyen rasmi turut menunjukkan paras air di beberapa empangan lain seperti di Isfahan dan Tabriz berada pada tahap amat rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sepanjang musim panas lalu, kerajaan mengisytiharkan dua cuti umum di Teheran pada Julai dan Ogos untuk menjimatkan penggunaan air serta tenaga ketika gelombang haba melampau melanda negara itu.

Ketika itu, penduduk Teheran terpaksa berdepan gangguan bekalan elektrik hampir setiap hari disebabkan peningkatan penggunaan tenaga akibat suhu melebihi 40 darjah Celsius.

Dalam laporan akhir Oktober, jurucakap Syarikat Pengurusan Sumber Air Iran, Abbasali Keykhaei memaklumkan sebanyak 19 empangan utama di seluruh negara iaitu kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan takungan telah kering sepenuhnya. - AFP

Ringkasan AI

  • Iran berdepan kemarau terburuk dalam beberapa dekad dengan paras air di empangan utama Mashhad jatuh di bawah tiga peratus
  • Simpanan air di empangan bandar itu berada pada tahap paling kritikal dalam sejarah
  • Mashhad bergantung kepada empat empangan utama untuk bekalan air harian
  • Penggunaan air di Mashhad mencecah 8,000 liter sesaat namun hanya 1,000 hingga 1,500 liter sesaat yang dapat dibekalkan
  • Kerajaan merancang melaksanakan catuan air secara berperingkat bagi mengurangkan pembaziran dan memastikan bekalan kekal stabil

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!