Warga emas lesap RM659,000 dijerat scammer pelaburan

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga emas berputih mata selepas kerugian RM659,000 akibat diperdaya pelaburan palsu dalam talian.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pada awalnya nombor telefon lelaki itu telah dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp pelaburan pada 12 September lalu.
Menurutnya, mangsa ditawarkan pelaburan off market sebelum berurusan dengan dua individu masing-masing seorang wanita dan lelaki.
"Mangsa yang terpedaya dengan tawaran dan keuntungan lumayan dijanjikan telah membuat lapan transaksi ke dua akaun berbeza bermula 7 Oktober hingga 29 Oktober lalu berjumlah RM659,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 424 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut," katanya pada Ahad.
Beliau berkata, orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
"Terutama yang melalui media sosial, aplikasi mesej atau laman web yang meragukan dan tidak mempunyai lesen sah daripada Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC).
"Orang ramai perlu menyemak kesahihan syarikat pelaburan melalui laman web rasmi BNM atau SC.
"Usah mudah percaya dengan testimoni atau bukti keuntungan yang ditunjukkan di media sosial, sekali gus elak berkongsi maklumat peribadi atau akaun bank kepada pihak tidak dikenali," nasihat beliau.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki warga emas kerugian RM659,000 akibat pelaburan palsu dalam talian
- Nombor telefon lelaki itu dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan pada 12 September
- Mangsa berurusan dengan dua individu dan membuat lapan transaksi ke dua akaun berbeza dari 7 Oktober hingga 29 Oktober
- Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 424 Kanun Keseksaan
- Orang awam dinasihatkan berhati-hati dengan tawaran pelaburan melalui media sosial dan memeriksa kesahihan syarikat melalui laman web BNM atau SC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
